ALOR GAJAH: Seorang lelaki berusia 40 tahun bertindak ganas melakukan beberapa siri jenayah dalam tempoh kurang lima jam melibatkan ugutan bersenjata dan samun di sekitar daerah ini sebelum berjaya diberkas polis awal pagi, semalam.
Suspek yang disahkan mempunyai rekod sakit mental dan tidak mengambil ubat sejak seminggu lalu, turut mempunyai 12 rekod jenayah termasuk enam berkaitan dadah dan didapati positif methamphetamine ketika ditahan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, siri keganasan bermula pada pukul 11.39 malam kelmarin apabila suspek melakukan ugutan jenayah terhadap seorang pekerja pasar raya di Taman Mutiara.
“Beberapa jam kemudian, pada pukul 3.47 pagi, suspek dilaporkan bertindak membaling batu ke arah pintu cermin dan menunjukkan pisau kepada petugas kaunter di sebuah stesen minyak di Kelemak.
“Hanya enam minit selepas itu, suspek bertindak lebih agresif dengan menyerang seorang penunggang motosikal lelaki di lokasi berhampiran menggunakan pisau hingga menyebabkan kecederaan sebelum melarikan diri,” katanya.
Ashari berkata, pada pukul 4 pagi pula, suspek bersenjatakan parang memasuki sebuah kedai serbaneka di Pekan Alor Gajah dan melakukan samun terhadap kakitangan premis tersebut.
“Susulan kejadian itu, satu operasi khas telah dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dan berjaya memberkas suspek tidak lama selepas itu dan senjata yang digunakan turut dirampas.
“Lelaki terbabit yang masih bujang dan menganggur itu tinggal bersama keluarganya di kawasan Alor Gajah dan dipercayai mengalami gangguan mental akibat tidak mengambil ubat dalam tempoh seminggu lalu,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506, Seksyen 392 dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan.-UTUSAN











