KUALA LUMPUR: Jenama fesyen tempatan, Minaz melancarkan koleksi terbaharu, ‘Seluruh Jiwa’ sekali gus menandakan peralihan besar jenama itu yang kini memberi tumpuan kepada pakaian yang lebih sopan, bergaya dan eksklusif.
Ketua Pegawai Eksekutif Minaz, Hafiza Abd Hamid berkata, koleksi ‘Seluruh Jiwa’ bukan sekadar rangkaian pakaian, tetapi satu manifestasi gaya hidup yang lebih bermakna bagi wanita Muslimah moden.
“Koleksi ini menampilkan pilihan pakaian seperti abaya, hijab, dan telekung, yang direka khas untuk mengekalkan nilai kesopanan tanpa mengorbankan elemen elegan dan sofistikasi.
“Kami ingin memperkenalkan sesuatu yang lebih segar dan istimewa kepada pelanggan setia kami. Minaz bukan sahaja mengetengahkan fesyen yang patuh syariah tetapi juga ingin membina keyakinan dalam setiap wanita yang memakainya,” ujar Hafiza.
Hafiza turut mengumumkan 2025 merupakan tahun terakhir koleksi ‘Blooming Raya’, yang telah menjadi sebahagian daripada MINAZ selama 15 tahun.
“Kami akan memberi tumpuan kepada koleksi yang lebih memfokuskan kepada abaya, pakaian asas (basic wear), dan telekung.
“Perubahan ini adalah langkah strategik bagi kami dalam usaha untuk membawa jenama ke peringkat lebih tinggi, sekaligus menjadikannya sebagai salah satu pelopor utama dalam industri fesyen sopan di Malaysia.
“Kami mahu setiap pelanggan berasa yakin dan istimewa dalam setiap helaian yang mereka pakai,” tambahnya.
Selain itu, tambah Hafiza, elemen warna, fabrik berkualiti tinggi, dan potongan yang longgar tetapi tetap kemas menjadikan koleksi ini pilihan ideal bagi wanita yang mencari pakaian sopan tetapi tetap moden dan eksklusif.
“Dengan pelancaran koleksi ini, kami yakin dapat menarik lebih ramai pelanggan baru selain terus mengekalkan sokongan daripada pelanggan setia.
“Koleksi ‘Seluruh Jiwa’ kini boleh didapati di butik serta di laman web rasmi Minaz,” ujarnya.