PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempergiat usaha libat urus dan rundingan bersama majikan serta pihak berkepentingan utama bagi memperkukuh persediaan menjelang pelaksanaan caruman mandatori KWSP untuk pekerja bukan warganegara Malaysia.
KWSP berkata, pihaknya telah melaksanakan lebih 30 sesi libat urus strategik bersama pelbagai pihak berkepentingan sejak pengumuman Belanjawan 2025 mengenai caruman mandatori KWSP kepada pekerja bukan warganegara.
Katanya, sesi-sesi ini merangkumi taklimat dan rundingan bersama Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), pertubuhan bukan kerajaan serta wakil-wakil daripada kumpulan majikan dan pekerja asing.
“Pelaksanaan undang-undang ini akan berkuat kuasa bermula gaji bulan Oktober 2025 iaitu bagi bulan caruman November 2025. Kadar caruman bagi pekerja dan majikan masing-masing ditetapkan pada dua peratus daripada gaji bulanan.
“Peluasan liputan caruman mandatori ini akan merangkumi semua pekerja bukan warganegara yang bekerja di Malaysia (tidak termasuk orang gaji domestik) yang mempunyai pasport dan pas kerja yang sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
KWSP berkata, pendekatan menyeluruh sesi libat urus ini dapat memastikan keselarasan antara hala tuju dasar dan tahap kesiapsiagaan bagi menyokong pelaksanaan dasar baharu yang berkesan di seluruh ekosistem.
“Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan majikan dan pekerja serta menyediakan maklumat yang jelas dan mudah diakses mengenai mekanisme pendaftaran majikan dan pekerja serta bayaran caruman.
“Sehingga kini, caruman KWSP bagi pekerja bukan warganegara Malaysia adalah secara sukarela,” katanya.
Jelasnya, pelaksanaan caruman mandatori KWSP kepada kumpulan ini adalah satu langkah penting ke hadapan dalam menyokong agenda nasional untuk memastikan semua pekerja, tanpa mengira kewarganegaraan mendapat akses kepada perlindungan sosial, sekali gus memupuk kesaksamaan dan keadilan dalam pasaran tenaga kerja.
“Majikan dikehendaki untuk mendaftarkan syarikat dengan KWSP bagi memastikan peralihan yang lancar dan pematuhan terhadap peluasan liputan caruman mandatori KWSP kepada pekerja bukan warganegara Malaysia.
“Pendaftaran majikan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web rasmi KWSP atau di mana-mana pejabat KWSP di seluruh negara,” katanya.
Majikan dan semua pihak berkepentingan boleh merujuk halaman khusus di laman web KWSP dalam masa terdekat, yang berfungsi sebagai pusat rujukan utama bagi garis panduan pelaksanaan, soalan lazim serta makluman berkala.
Bagi maklumat lanjut mengenai, boleh melayari www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Perhubungan dan Nasihat Perkhidmatan KWSP di talian 0389226000.-UTUSAN










