JKR pastikan kerja baik pulih Jalan Kampung Jerek ikut spesifikasi

JKR pastikan kerja baik pulih Jalan Kampung Jerek ikut spesifikasi

MOHD. Azmawi Fikri Abdul Ghani (dua dari kanan) meninjau keadaan jalan yang rosak di Kampung Bertam Lama, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Syarikat kuari dan pemaju bersedia membaik pulih Jalan Kampung Jerek ke Kampung Bertam Lama di sini, yang rosak teruk selepas laluan itu digunakan oleh kenderaan berat membawa muatan batu dan pasir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah bersetuju melakukan pemantauan bagi memastikan struktur jalan yang dibaik pulih dapat digunakan dalam tempoh yang lama walaupun laluan itu digunakan lori membawa muatan berat.

“Sebelum ini kerja baik pulih dilakukan syarikat kuari, namun dijalankan secara tidak tersusun. Kali ini kita mendapat nasihat teknikal daripada pihak JKR dan syarikat konsesi agar mengikut spesifikasi dan tahan lama.

“Ini merupakan langkah jangka masa pendek bertujuan menjamin keselamatan pengguna jalan raya selain memberi keselesaan kepada penduduk kampung yang berulang-alik untuk melakukan urusan ha­rian,” katanya di Kampung Bertam Lama, semalam.

Sementara itu, Penghulu Mukim Bertam Baru Mohd. Zulfadli Mustafa, 42, berkata, pihaknya berpuas hati dengan persetujuan pihak syarikat kuari dan empangan mini hidroelektrik untuk bekerjasama membaiki jalan yang rosak sejak setahun lalu.

Katanya, sebelum ini mereka berdepan risiko kemalangan selepas permukaan jalan di kampung mereka pecah, berlubang dan menjadi tidak rata selepas digunakan oleh kenderaan berat.

“Saya berpuas hati dengan perbincangan dan kami menantikan pelaksanaan kerja-kerja membaik pulih daripada syarikat kontraktor yang terlibat,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, lebih 3,000 penduduk di lima buah kampung di sini, berdepan masalah jalan rosak serta berlubang yang menyebabkan mereka terdedah risiko kemalangan.

Dakwa penduduk, masalah itu berpunca daripada pergerakan keluar masuk lori yang menggunakan laluan itu membawa muatan batu dari kawasan projek hidro elektrik ke kawasan tapak projek di Kampung Ingin Maju, Dabong, Kuala Krai dekat sini.

Kampung-kampung terjejas ialah Kampung Bertam Baru, Lulut, Toseng, Sri Mahligai, Jerek dan Kampung Ingin Maju.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×