Masjid India antara lima lokasi warga asing dipantau imigresen 

Masjid India antara lima lokasi warga asing dipantau imigresen 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Lima lokasi utama di ibu negara dikenal pasti menjadi tumpuan kehadiran warga asing akan dipantau Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Kuala Lumpur menjelang musim perayaan Aidilfitri ini. 

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, lokasi itu membabitkan Bangunan Berkembar Petronas Kuala Lumpur (KLCC), Masjid India, Kota Raya, Jalan Silang serta Bukit Bintang.

Katanya, anggota Imigresen akan dikerahkan untuk memantau lokasi berkenaan dengan kaedah omnipresence (pengawasan berterusan)

“Penugasan anggota itu bagi memastikan warga asing mematuhi undang-undang imigresen selain kawasan berkenaan selesa dikunjungi warga tempatan dan pelancong asing sepanjang musim raya khususnya.

“Jabatan Imigresen Kuala Lumpur sentiasa peka bahawa pentingnya kehadiran dan keberadaan agensi penguat kuasa dirasai rakyat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, tindakan operasi secara bersepadu menerusi KL Strike Force dilaksanakan dengan agensi lain antaranya Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Pengangkutan Jalan, Kementerian Kesihatan Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

“Mana-mana  warga asing yang ingin keluar diingatkan untuk membawa dokumen sah.

“Tidak semua warga asing di sini (Kuala Lumpur) merupakan PATI, ada antara mereka miliki dokumen dan mengambil peluang cuti untuk berjumpa rakan, berkumpul dan sebagainya. Diharap perkara sebegini tidak dipandang negatif masyarakat,” ujarnya.

Katanya, setakat 20 Mac lalu, sebanyak 150 operasi telah dilaksanakan dengan tangkapan 43 majikan dan 1,099 PATI antaranya Bangladesh, China, India, Indonesia, Myanmar, Pakistan, Thailand serta Vietnam.

“Unit pendakwaan merekodkan hukuman paling berat diambil terhadap PATI ialah penjara 53 bulan, satu sebatan serta denda RM30,000. 

“Kutipan hasil tindakan kompaun PATI dan majikan, pas khas serta Program Repatriasi Migran (PRM) mencatatkan jumlah RM2.81 juta,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN