Malaysia sedia terima 15 tahanan Palestin

Malaysia sedia terima 15 tahanan Palestin

MOHAMAD Hasan hadir pada Majlis Penutup Khatam al-Quran NSWO di Seremban, Negeri Sembilan. - UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Malaysia bersedia menerima 15 tahanan Palestin yang dibebaskan Israel sebagai usaha pendamaian di bawah Perjanjian Gencatan Senjata Gaza ke negara ini dalam masa terdekat.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penerimaan itu sebagai tanda sokongan negara bagi menjayakan salah satu syarat perjanjian gencatan senjata yang mana pejuang Palestin yang dibebaskan tersebut tidak boleh pulang ke Gaza.

“Kita sedang menghantar pasukan untuk melihat siapa (tahanan) yang dipilih untuk datang ke sini, bukan sahaja Malaysia tetapi Turki mengambil ratusan orang, begitu juga Pakistan dan Indonesia mengambil sebahagiannya yang merupakan negara-negara di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Segala dokumentasi akan diselesaikan dan kita akan bawa mereka ke Malaysia, namun di mana mereka akan ditempatkan akan ditentukan kemudian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Khatam al-Quran Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO) di sini, semalam.

Jelas Mohamad, kemasukan tawanan Palestin itu akan mengguna pakai konsep kemasukan pelarian Syria ke negara ini yang telah diaplikasikan sebelum ini.

Katanya, walau apa pun tuduhan terhadap tahanan perang Israel itu, Malaysia melihat mereka sebagai pejuang kebebasan untuk mendapatkan kemerdekaan bagi negara Palestin yang dijajah.

“Syarat-syarat gencatan senjata sementara tempoh hari yang dibuat atas inisiatif kerajaan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) iaitu mengatakan jika tahanan ini dibebaskan, mereka tidak boleh pulang ke Gaza atau kampung halaman.

“Jadi kita setuju dengan cadangan itu, asalkan kita hendak satu gencatan senjata (diteruskan). Hamas membebaskan tahanan perang dia (Israel) dan Israel membebaskan orang-orang Palestin yang ada ditahan tanpa bicara sampai 20 tahun, ada sampai 70 tahun, sejak umur 20 tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN