KPDN tumpaskan sindiket selewengan minyak masak subsidi di Pulau Pinang

KPDN tumpaskan sindiket selewengan minyak masak subsidi di Pulau Pinang

JEGAN (depan, tiga dari kiri) meneliti sebahagian daripada minyak masak bersubsidi 1 kg yang dirampas di Kompleks Penyimpanan KPDN Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi dengan nilai rampasan sebanyak RM129,869, hari ini.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, terdahulu, serbuan dibuat ke atas sebuah lori yang mencurigakan di sekitar Jawi hasil satu risikan yang seterusnya membawa kepada serbuan lain di sebuah stor tidak berlesen kira-kira pukul 8.30 malam, kelmarin. 

“Semasa serbuan dijalankan, pasukan penguatkuasa menemui enam lelaki tempatan sedang memotong peket minyak masak untuk memindahkan cecair itu ke dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC). 

“Pemeriksaan lanjut mendapati, premis tersebut menyimpan minyak masak peket seberat 2,300 kilogram (kg) dalam bungkusan asal serta sejumlah plastik kosong yang telah dipotong. 

“Cecair yang disyaki minyak masak bersubsidi juga ditemukan di dalam tangki IBC itu dengan anggaran berat kira-kira 9,500 kg manakala tong dram plastik biru yang dijumpai pula dinggarkan seberat 750 kg,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jegan berkata, dalam serbuan yang sama, pihaknya turut menjumpai 11 unit tangki IBC berkapasiti 1,000 liter dan lima unit tong drum plastik berwarna biru.

“Pemeriksaan terhadap lori terbabit mendapati, ia mengandungi minyak masak bersubsidi seberat 1,200 kg yang disimpan dalam keadaan mencurigakan.

“Selain itu, pelbagai peralatan seperti pisau lipat, motor pam dan hos, bakul plastik pelbagai saiz, tong plastik hitam serta dokumen berupa resit bil elektrik atas nama seorang individu turut dirampas bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambah beliau, kes itu kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan pelanggaran Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN