IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memperkenankan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bersama Jabatan Penjara Perak merintis usaha bagi membantu banduan-banduan yang dibebaskan dari penjara.
Baginda bertitah, Jabatan Mufti juga telah diminta untuk mengkaji sama ada banduan yang dibebaskan dari penjara tergolong dalam mana-mana asnaf yang layak diberikan bantuan daripada dana zakat untuk memulakan penghidupan yang baharu.
“Beta telah menitahkan agar MAIPK memikirkan dana membiayai banduan yang dibebaskan untuk dibantu mengikuti program latihan kemahiran yang sesuai agar mereka dapat segera memulakan hidup yang produktif pasca menjalani hukuman penjara.
“Para banduan telah melalui pengalaman ditangkap oleh polis, melalui pengalaman perbicaraan oleh mahkamah dan melalui pengalaman tahanan oleh jabatan penjara.
“Pada hemat beta, perlu ada entiti atau badan yang memberikan perhatian kepada banduan yang telah tamat menjalani hukuman.
“Beta berpendirian MAIPK boleh berperanan konstruktif untuk membantu banduan yang telah selesai menjalani hukuman untuk memulakan hidup baharu,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Watikah Yang Di Pertua dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Hakim Mahkamah Syariah Perak dan Ahli Majlis Perundingan Masjid serta Penyerahan Zakat Perniagaan dan Pendapatan di Kelab Golf Diraja Perak (RPGC), di sini hari ini.
Baginda bertitah, pada zaman ini tidak wujud lagi asnaf al-riqab seperti yang disebutkan dalam kitab-kitab turath sebagai hamba al-mukatab, iaitu hamba yang dijanjikan dengan perjanjian yang sah oleh tuannya untuk dimerdekakan dengan syarat membayar sejumlah wang.
Titah baginda, para ulama kontemporari telah meluaskan takrif al-riqab pada golongan seperti tawanan perang, rakyat yang berada dalam negara yang dijajah atau bergolak, golongan yang dibelenggu dengan masalah sosial dan akidah.
“Berpandukan takrif ulama kontemporari ini, asnaf al-riqab sebenarnya masih wujud dan layak menerima agihan zakat.
“Asnaf al-riqab kini tidak terhad kepada mereka yang diperhambakan, tetapi merangkumi insan-insan yang terbelenggu dengan masalah sosial dan perlu dibantu akidahnya untuk kembali ke pangkal jalan. Sesungguhnya, membebaskan manusia daripada kegelapan merupakan tugas yang mulia,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda memaklumkan, MAIPK telah menjalin kerjasama dengan Jabatan Penjara Negeri Perak dengan merintis program pembangunan ummah melalui model koreksional islamik berimpak tinggi di Pusat Koreksional Batu Gajah dan di Penjara Tapah.
Titah baginda, mulai Januari 2025, akademi tahfiz diwujudkan di Pusat Koreksional Wanita Batu Gajah dan mendapat sambutan tujuh orang peserta di mana seorang daripadanya telah pun berjaya menghafal enam juzuk al-Quran.
“Mulai Februari 2025, program hafazan al-Quran telah diperkenalkan di Penjara Tapah dengan penyertaan 18 orang prospek di mana ada yang telah berjaya menghafal tiga juzuk al-Quran,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, program di dua pusat penjara itu dibiayai dana wakaf dan zakat untuk membekalkan kelengkapan, kemudahan pembelajaran dan menyediakan tenaga pengajar selain pembiayaan aktiviti kebajikan dalam usaha pemulihan menyeluruh insan dari sudut jasmani, emosi, akal dan akhlak.
“Dua program yang dirintis ini telah mendapat sambutan baik dan membuahkan hasil yang sangat menggalakkan,” titah baginda. – UTUSAN










