KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia mempunyai hak untuk bersuara dan melontarkan kritikan terhadap kerajaan selagi mana tidak melanggar isu agama, kaum dan raja atau 3R.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, hak bersuara itu sudah termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, kata beliau, tiada siapa yang mempunyai hak untuk menyebar fitnah mahupun mengadu domba sehingga menganggu ketenteraman awam.
“Selagi mana perkara itu (3R) tidak dilanggar maka rakyat dan orang awam dalam media sosial bebas untuk mengkritik. Malah, sikap Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) lebih terbuka.
“Saya beri contoh, ada kes seorang pereka grafik, Fahmi Reza yang baru ini dipanggil (polis) atas alasan, akibat kenyataan yang beliau buat terhadap Perdana Menteri. Perdana Menteri menyatakan terbuka untuk dikritik, tidak menjadi masalah.
“Tetapi sekiranya menyentuh perihal kaum, agama, raja-raja maka ada batas-batasnya,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan dari Senator Amir Md Ghazali mengenai bagaimana Kementerian Komunikasi memastikan tindakan undang-undang tidak menutup suara rakyat yang sekadar bertanya, menegur dan mempersoalkan dasar kerajaan.
Mengenai Indeks Kebebasan Media, Fahmi memaklukan bahawa beliau pada 2023 menjemput pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) media iaitu Reporters Without Borders (RSF) untuk menjelaskan mengenai indeks tersebut.
Jelasnya, RSF dimaklumkan bahawa indeks berkenaan bersifat reflektif walaupun sesebuah negara tidak melakukan apa-apa tetapi negara lain menyaksikan beberapa penambahbaikan atau kedudukan mereka merosot maka mungkin indeks negara itu boleh naik mahupun turun.
“Buktinya pada 2023, dalam bulan-bulan pertama saya menggalas tanggungjawab dan kerajaan Madani dibentuk. Kita belum melakukan apa-apa perkara tetapi kedudukan kita meningkat.
“Perkara sama berlaku pada tahun berikutnya, tiba-tiba kedudukan kita merudum walaupun tidak ada kes seperti di setengah negara, wartawan dibunuh, dipukul, ditangkap, dihumban ke dalam penjara dan undang-undang tertentu dihasilkan,” jelasnya. – UTUSAN











