Kerajaan salur RM50.61 juta bantu mangsa banjir di Johor

Kerajaan salur RM50.61 juta bantu mangsa banjir di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyalurkan dana sebanyak RM50.61 juta untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Johor.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, negara dijangka akan memasuki fasa peralihan monsun dimana keadaan itu boleh menggalakkan pembentukan awan ribut petir yang boleh mengakibatkan kejadian hujan lebat serta angin kencang.

Menurut beliau, lebih membimbangkan apabila fenomena tersebut boleh menyebabkan banjir kilat dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

“Kerajaan melalui NADMA juga telah menyalurkan dana sebanyak RM50.61 juta untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Johor.

“Ini termasuklah RM50 juta untuk Bantuan Wang Ihsan (BWI), RM500 ribu untuk pengurusan Pengoperasian Bencana dan RM114.6 ribu untuk penyelenggaraan Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

NADMA merekodkan  jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di negeri Johor adalah seramai 10,851 orang, berbanding 753 orang pada 20 Mac 2025.

Ia melibatkan pembukaan 93 PPS di lima daerah, daerah yang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi adalah Johor Bahru (4,319) dan diikuti dengan daerah Kluang (2,191), Kota Tinggi (1,762), Pontian (1,422) dan Kulai (1,157).

Susulan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menggerakkan aset pengoperasian bagi memastikan tindakan mencari dan menyelamat mangsa dapat dilakukan sebaiknya.

Untuk Johor, seramai 8,289 anggota yang bertugas dan daripada segi aset, JPBN menyediakan sebanyak 206 buah bot, 157 buah van, 91 buah lori, 15 buah ambulans, dua buah pesawat udara dan satu dron untuk operasi banjir bagi Johor.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, beliau bersimpati dengan penduduk Johor yang terkesan dengan banjir.

“Saya berharap semua mangsa banjir terus diberi kekuatan dan kesabaran, apatah lagi dalam musim persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya.

Tambahnya, beliau sudah memohon kepada semua pihak berkuasa termasuk pejabat daerah dan agensi tindak balas agar membuat pemantauan rapi kawasan-kawasan yang berisiko tinggi bagi risiko kehilangan nyawa akibat fenomena tersebut.

“Saya juga ingin menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan peka dengan perubahan cuaca sekarang sebelum merancang sebarang aktiviti terutamanya di musim perayaan yang bakal tiba tidak lama lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya