LUMUT: “Sudah berbulan-bulan dia dan kawannya hilang dalam hutan paya bakau. Ramadan kali ini rasa sayu tanpa adiknya apatah lagi hingga sekarang tiada kepastian mengenai nasib mereka.”
Itu kata Tifah Mat Jaab, 77, kakak kepada Azman Mat Jaab, 61, lelaki yang dilaporkan hilang pada Julai lalu bersama seorang rakannya, Yahya Harun, 55 , ketika mencari siput belitung di hutan paya bakau Sungai Tuntung, Pantai Remis dekat sini.
Walaupun pelbagai usaha pencarian dilakukan oleh pihak berkuasa, sukarelawan dan penduduk kampung, namun kedua-dua lelaki itu masih tidak ditemukan sehingga kini.
Menurutnya, ketiadaan Azman amat dirasai terutama pada Ramadan kali ini kerana adiknya itu paling sibuk membantu membeli barangan untuk dimasak sebagai juadah berbuka puasa.
Katanya, pada kebiasanya adiknya itu akan ke kedai untuk membeli barang-barangan yang diperlukan untuk dimasak dan dimakan bersama semasa berbuka puasa.
“Kalau Ramadan biasanya adik saya paling sibuk. Dia masih bujang, jadi nak ke mana-mana pun boleh, dialah yang bantu saya pergi beli barang rumah.
“Dia jenis tidak cakap banyak. Dia rajin membantu apa yang kami perlukan. Ketiadaannya dirasai terutama semasa Ramadan kerana biasanya dialah yang sibuk membantu membeli barang yang diperlukan untuk berbuka.
“Semakin hari kami semakin rindu padanya apatah lagi dia merupakan adik bongsu kepada kami tujuh beradik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Che Rahmat, Panchor di Pantai Remis dekat sini.
Menurutnya, perasaannya semakin sayu apabila mengenangkan bakal menyambut Aidilfitri apatah lagi adiknya yang hilang tanpa dapat dikesan.
“Saya tak mampu berbuat apa-apa hanya mampu berdoa agar adik dan kawannya ditemukan. Saya juga memohon masyarakat sama-sama berdoa supaya Allah memudahkan pertemuan adiknya dan kawan sekali.
“Kami reda walau apa pun yang berlaku terhadap mereka jika itu yang ditakdirkan. Kami tetap berharap adik masih hidup dan selagi tidak jumpa mayatnya, kita tak boleh kata mereka sudah meninggal dunia,” katanya.-UTUSAN










