KDN sita 245,523 teks, bahan al-Quran tiada kelulusan

KDN sita 245,523 teks, bahan al-Quran tiada kelulusan

SAIFUDDIN Nasution Ismail menyampaikan sumbangan al-Quran kepada wakil 18 buah masjid pada Program Penerapan Nilai-nilai Murni sempena Sambutan Nuzul Quran dan Ihya Ramadan di Masjid Al-Islah, Bandar Baharu, Kedah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR BAHARU: Sebanyak 245,523 teks dan bahan al-Quran termasuk tanpa kelulusan bernilai RM12 juta disita Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak 2018 hingga tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah sitaan itu diperoleh hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap kira-kira 15,000 premis di seluruh negara.

“Penguatkuasaan dibuat mengikut Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 dan sebanyak 1,220 kertas siasatan telah dibuka. Tahun lalu sahaja, operasi dilakukan ke atas 6,439 premis dan menyita 22,492 teks dan bahan al-Quran bernilai RM3.4 juta,” katanya selepas Program Penerapan Nilai-nilai Murni sempena Sambutan Nuzul Quran dan Ihya Ramadan, semalam.

Sementara itu, Saifuddin berkata, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN juga sedang menggerakkan Op Mulia bagi memantau dan mengawal selia Akta Percetakan Teks al-Quran sepanjang Ramadan ini bermula 7 Mac hingga 26 Mac.

“Sepanjang tempoh itu, kami akan memeriksa syarikat percetakan, premis dan individu. Setakat 12 Mac lalu, 794 premis diperiksa melibatkan 88 kertas siasatan dibuka, hasil sitaan berjumlah RM502,737 merangkumi sitaan 734 naskhah al-Quran dan 19,682 bahan al-Quran,” katanya. 

Ujar beliau, operasi sama pada tahun lepas melibatkan pemeriksaan ke atas 822 premis dengan sitaan sebanyak 8,212 naskhah al-Quran dan 11,694 bahan al-Quran bernilai RM2.7 juta membabitkan 160 kertas siasatan. 

“Penguatkuasaan ini penting untuk memastikan kepatuhan undang-undang dan pemeliharaan kesucian teks al-Quran,” katanya.

Selain penguatkuasaan, kata Saifuddin, bahagian itu turut bertanggungjawab dalam program pelupusan al-Quran yang rosak serta tidak boleh digunakan lagi termasuk akibat kejadian banjir besar.

“Program pemuliaan al-Quran merujuk kepada kaedah melupuskan al-Quran dengan menjadikannya sebagai abu dan kemudian kita lepaskan ke laut. Tahun lepas sahaja kita telah laksanakan sebanyak enam kali iaitu di Selangor, Pahang, Terengganu, Sarawak, Kelantan dan Sabah,” katanya.

Menurut beliau, secara keseluruhannya, pihaknya telah melupuskan 31,836 teks dan bahan al-Quran seberat 32.3 tan yang bernilai RM686,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN