Sambutan Hari Kebangsaan di Perlis memukau, dibanjiri hampir 20,000 pengunjung - Utusan Malaysia

Sambutan Hari Kebangsaan di Perlis memukau, dibanjiri hampir 20,000 pengunjung

RIBUAN pengunjung hadir seawal pagi bagi menyaksikan perarakan kontijen bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 peringkat negeri ini, di hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis hari ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seawal pukul enam pagi, ribuan pengunjung mula memenuhi sepanjang bahu jalan bagi menyaksikan perarakan kontijen bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 peringkat negeri ini, di hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.

Antara yang menarik perhatian hampir 20,000 pengunjung yang hadir itu adalah seperti penampilan kenderaan perisan ringan, Ferret Scout Car yang merupakan koleksi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Koleksi istimewa itu merupakan kurniaan Raja Jordan, Raja Abdullah II sebagai tanda persahabatan akrab dan melambangkan jalinan hubungan antara negara khususnya Perlis dan Jordan.

Sebagai rekod, Ferret Scout Car digunakan pada tahun 1951-1953 secara meluas oleh British Calvary dan memasuki perkhidmatan Tentera Darat semasa pembentukan B Squadron Federation Armoured Car Regiment pada 1957.

Selain itu, kenderaan tersebut juga telah banyak menabur jasa semasa insurgensi pertama di Tanah Melayu selain berkhidmat dalam misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Congo dari tahun 1960-1963.

Ferret Scout Car juga pernah menjadi tonggak peninjauan yang sangat unggul di segenap pelusuk kawasan pertempuran dan dilengkapi senjata mesingan kegunaan am (MGKA) 7.62 milimeter.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin diiringi Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan mencemar duli mengikuti perarakan itu.

Hadir sama, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Rahimi Ismail serta barisan Exco kerajaan negeri.

Keberangkatan tiba Tuanku Syed Sirajuddin pada majlis berkenaan disambut oleh Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion Ke-4 Rejimen Renjer Diraja dengan kekuatan tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat.

Sejurus selepas itu, turut berlangsung acara menaikkan Jalur Gemilang bersama nyanyian Lagu Negaraku dengan iringan tembakan meriam artileri sebanyak 14 das.

Acara perbarisan dan perarakan tersebut meriah dengan penyertaan 73 kontinjen kawad kaki dan tujuh kontinjen kenderaan dengan melibatkan seramai 2,820 peserta.

Selain itu, sebanyak 165 aset kenderaan dipamerkan dalam perarakan pada tahun ini bagi menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan dalam kalangan masyarakat.

Penutupan majlis berkenaan diserikan dengan persembahan finale ‘Malaysia Madani Rakyat Disantuni’ yang berlangsung meriah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN