PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan disifatkan sebagai langkah penting untuk memperkukuh tadbir urus kewangan negara dengan memastikan semua urusan perolehan berada dalam kerangka perundangan yang lebih ketat, telus dan berakauntabiliti.
Ketua Biro Guaman dan Aduan Awam Angkatan Muda Keadilan (AMK), Khairul Naim Rafidi berkata, sebelum ini tiada undang-undang menyeluruh yang mengikat transaksi perolehan serta melibatkan entiti khas milik kerajaan.
“Keputusan kewangan banyak dibuat melalui syarikat tujuan khas (SPV) tanpa kawalan legislatif yang jelas, sekali gus mendedahkan kelemahan dalam struktur tadbir urus.
“RUU PK menjadi jawapan kepada kelemahan itu kerana ia menutup jurang undang-undang dengan memastikan semua urusan perolehan, termasuk bernilai besar, dipantau dalam kerangka perundangan yang telus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Naim berkata, RUU berkenaan tidak harus dilihat sebagai undang-undang yang melemahkan fungsi semak dan imbang, sebaliknya ia adalah reformasi institusi bagi memperketat kawalan ke atas perbelanjaan awam.
Katanya, langkah tersebut juga selaras dengan agenda Malaysia Madani bagi memastikan wang rakyat diurus secara berhemat, telus dan bebas daripada sebarang ketirisan.
Kementerian Kewangan sebelum ini dilaporkan berkata, RUU PK digubal khusus untuk memperkukuh ketelusan proses perolehan kerajaan.
Beberapa sesi libat urus bersama kerajaan negeri, agensi, syarikat berkaitan kerajaan serta pihak industri turut diadakan bagi memastikan draf perundangan itu menepati keperluan semua pihak.
RUU berkenaan mengandungi 12 bahagian dengan 93 fasal merangkumi aspek pertanggungjawaban, semak imbang serta tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan perolehan.
RUU ini tidak menambah kuasa kepada Menteri Kewangan kerana kuasa sedia ada kekal tertakluk di bawah Akta Tatacara Kewangan 1957 (Disemak 1972).
Sebaliknya, sebarang keputusan Lembaga Tender atau Menteri boleh dicabar melalui penubuhan Tribunal Rayuan Perolehan Kerajaan, sekali gus memperkukuh mekanisme semak dan imbang.
Selain itu, penggubalan RUU ini juga dibuat selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang diketuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan perbelanjaan awam dijalankan dengan penuh integriti, telus serta bebas daripada penyelewengan. – UTUSAN








