Kartunis ME meninggal dunia akibat serangan jantung

Kartunis ME meninggal dunia akibat serangan jantung

KARTUNIS terkenal Pulau Pinang, Azmi Hussin dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung petang semalam.-GAMBAR/INSTAGRAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pulau Pinang kehilangan sebutir permata berharga dalam bidang seni apabila kartunis terkenal kelahiran negeri itu, Azmi Hussin meninggal dunia akibat serangan jantung, petang semalam.

Difahamkan, Azmi, 41, atau lebih dikenali sebagai ME menghembuskan nafas terakhirnya selepas mengadu sakit dada dan penat sebaik sahaja pulang daripada mengunjungi sebuah bazar Ramadan bersama anak dan isteri.

Rakan baik Allahyarham, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan, 42, berkata, Azmi kemudian segera dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan lanjut selepas tidak sedarkan diri.

“Bagaimanapun, doktor mengesahkan bahawa arwah sudah meninggal dunia sebelum tiba di hospital. Saya difahamkan, jenazah telah selesai dibedah siasat kira-kira pukul 11 pagi tadi dan kini sedang dimandi serta dikafankan di hospital.

“Doktor juga telah mengesahkan bahawa kematiannya akibat serangan jantung,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

AZMI Hussin bersama sebahagian daripada karya yang dihasilkannya sebelum ini.-GAMBAR/FACEBOOK

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan disembahyang dan dikebumikan di kawasan tanah perkuburan berhampiran Masjid Hashim Yahya di Jalan Perak di sini selepas solat Zohor hari ini.

Ketika hayatnya, Azmi yang dikenali dengan siri komik Tanjong Life! dan pemegang tiga rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) terkenal dengan gaya lukisan kartun yang unik dan sering menggambarkan kehidupan seharian masyarakat Malaysia terutamanya di Pulau Pinang.

Memulakan kerjaya sebagai artis karikatur jalanan pada usia 29 tahun, pencapaian terbesar beliau ialah menghasilkan buku komik bertajuk ‘The Little Mamak’ pada tahun 2016 yang tersenarai sebagai antara 50 buku terbaik di Malaysia oleh Majlis Buku Negara.

Anak kelahiran Butterworth itu juga pernah menerima Anugerah Pekomik Kembara pada 2018 dan Tokoh Kartunis Pulau Pinang pada 2021 dengan karya terakhirnya ialah komik berjudul ‘Tanjong Life: Back to the 90’s yang dihasilkan pada tahun 2022.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya