BAGAN DATUK: Seorang kartunis, Muhammad Najid Mohd. Rudin, 51, menghidupkan kembali nostalgia kad ucapan Hari Raya Aidilfitri dan sampul duit raya di bengkelnya di Kampung Parit 3, Hutan Melintang, di sini.
Dikenali sebagai Bendi Abe Ben katanya, penghasilan kad raya mempunyai nilai sentimental tersendiri selain menjadi medium mengeratkan silaturahim.
Katanya, kad raya masih mempunyai peminat tersendiri yang membuat tempahan untuk dijadikan hiasan serta dikirimkan kepada saudara-mara dan sahabat handai.
“Dahulu, menghantar kad ucapan hari raya merupakan tradisi Aidilfitri, kini amalan itu semakin dilupakan.
“Kad raya umpama pengganti diri yang menyampaikan ingatan tulus ikhlas kepada penerima. Lazimnya dihiasi lukisan suasana perkampungan dan elemen tradisional,” katanya ketika ditemui di sini.
Perkembangan teknologi komunikasi masa kini menyebabkan tradisi mengirim kad raya semakin terpinggir dan tidak lagi dipraktikkan secara meluas.
“Namun, saya mahu menghidupkan kembali kad ucapan hari raya sebagai satu nostalgia, mengimbau kemeriahan Aidilfitri suatu ketika dahulu apabila kad raya menjadi sebahagian daripada tradisi sambutan,” katanya.
Bagi keluaran tahun ini, dia menampilkan tema ‘Kembalikan Kad Raya’ dengan sentuhan lukisan tangan asli yang mengekalkan identiti klasik dan tradisional.
Kartunis berpengalaman lebih 30 tahun itu turut menghasilkan sampul duit raya yang dilukis tangan bagi memastikan warisan seni itu kekal.
“Saya hasilkan kad ucapan dan sampul duit raya setiap tahun supaya ia tidak luput ditelan zaman. Penghasilan adalah terhad dan dibuat berdasarkan tempahan,” katanya.
Tempahan diterima daripada individu selain syarikat seperti kilang dan kedai peralatan telekomunikasi yang menjadikan kad raya sebagai hiasan sempena Aidilfitri.
Satu set kad raya dijual pada harga RM10, manakala sampul duit raya RM15 satu set. – UTUSAN










