KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun menjadi mangsa mercun terbaharu di negeri ini selepas kesemua lima jari pada tangan kirinya putus dalam kejadian di Tumpat, dekat sini semalam.
Kejadian pukul 3.30 petang itu berlaku apabila mercun buatan sendiri itu meletup ketika mangsa sedang bermain bersama dua rakannya.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, dua lagi rakan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa dihantar ke Hospital Tumpat sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan susulan. Kanak-kanak berkenaan itu dilaporkan stabil,” katanya hari ini.
Dr. Zaini berkata, sepanjang tempoh 26 hari umat Islam berpuasa, seramai 23 individu di Kelantan cedera dan putus jari dalam kejadian letupan mercun.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 10 mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar manakala lagi 13 individu dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut. – UTUSAN











