PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi Cawangan Narkotik, Bahagian Penguatkuasaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan rampasan bernilai RM4,124,173 dalam tiga serbuan baru-baru ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) JKDM, Raizam Setapa berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan dan operasi berterusan pihaknya dalam membanteras jenayah penyeludupan dadah yang semakin licik menggunakan pelbagai modus operandi.
“Sindiket terbabit menggunakan laluan udara, laut dan perkhidmatan kurier bagi menyeludup dadah, namun taktik mereka berjaya dipatahkan hasil tindakan pantas pasukan penguat kuasa,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya, serbuan pertama dilakukan pada 18 Februari kira-kira pukul 5 petang di Balai Ketibaan KLIA Terminal 2, pihak kastam menyita satu bagasi tidak dituntut yang mengandungi 8,138 gram dadah jenis Methamphetamine disorok dalam lapan kotak.
Katanya, nilai anggaran sitaan tersebut berjumlah RM268,323.
“Dalam serbuan kedua pada 27 Februari, anggota JKDM menyerbu kawasan Pasir Penambang, Kuala Selangor pada pukul 3 pagi dan menyita dua bungkusan plastik berisi dadah dipercayai untuk pasaran luar melalui laluan laut.
“Rampasan melibatkan 9,150 gram MDMA (ekstasi), 10,650 gram kokain dan 1,250 biji pil Erimin 5, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3,683,050,” katanya.
Selain itu, menurutnya, serbuan ketiga dilakukan pada 28 Februari, kira-kira pukul 1 tengah hari, di sebuah syarikat kurier di Sepang, Selangor.
“Pemeriksaan terhadap sebuah kotak kayu menemui 5,400 gram Methamphetamine bernilai RM172,800, dipercayai untuk dihantar ke luar negara melalui laluan udara.
“Sindiket itu semakin licik guna pelbagai kaedah untuk mengaburi pihak berkuasa, namun JKDM sentiasa memperkukuh kawalan dan risikan bagi pastikan negara tidak menjadi transit penyeludupan dadah antarabangsa,” katanya. – UTUSAN











