KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilisation of Hady & Adahi (ADAHI) telah menetapkan harga qurban seekor kibas pada harga RM875 bagi musim haji 1446H/ 2025M.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman, kerjasama dengan ADAHI itu adalah berikutan pihak tersebut adalah pembekal haiwan sembelihan yang diiktiraf kerajaan Arab Saudi bagi urusan Dam dan Qurban.
Katanya, bakal jemaah haji bagi musim tahun ini boleh membuat pembayaran Dam melalui aplikasi THiJARI atau di kaunter pejabat cawangan TH seluruh negara sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Manakala, penyertaan Qurban di Tanah Suci adalah terbuka kepada semua pendeposit TH.
“TH terus menyediakan perkhidmatan bayaran Dam buat bakal jemaah haji bagi musim haji tahun ini dan akan bermula hari Jumaat, 28 Mac 2025 sehingga 3 Julai 2025.
“Manakala, pembayaran penyertaan Qurban di Tanah Suci boleh dibuat oleh semua pendeposit TH bermula dari 28 Mac 2025 sehingga 31 Mei 2025,” jelasnya.
Katanya lagi, selaras dengan keputusan Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji TH, bakal haji yang melaksanakan ibadah haji Tamattu’ dan Qiran digalakkan untuk melaksanakan bayaran Dam pada kadar semasa sebelum tiba di Tanah Suci kerana lebih mudah.
“TH turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sebarang tawaran pembayaran Dam dan Qurban yang mencurigakan daripada agensi pelancongan atau mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan.” ujarnya.-UTUSAN










