PETALING JAYA: Perkhidmatan berkonsepkan ‘beli sekarang bayar kemudian’ atau BNPL perlu dikawal selia dengan hanya terhad kepada barangan atau produk tertentu sahaja.
Penganalisis Ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, kawal selia menerusi satu akta khusus itu juga penting bagi mengelakkan pengguna dieksploitasi.
Katanya, kawal selia tersebut yang boleh dilaksanakan kerajaan itu perlu berlandaskan konsep syariah dan tidak memudaratkan pengguna serta tidak menjejaskan pasaran e-dagang.
“Kerajaan perlu mengetatkan perkhidmatan BNPL ini dengan hanya terhad kepada barangan tertentu seperti berkaitan pendidikan, perubatan atau sebagainya dan bukan barangan seperti telefon bimbit.
“Pengguna berdepan hutang yang banyak jika terlampau taksub membeli,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, rakyat Malaysia berbelanja sebanyak RM12 bilion menggunakan kemudahan BNPL tahun lalu.
Daripada jumlah itu sebanyak RM4.9 bilion dibelanjakan pada enam bulan pertama tahun lalu dan meningkat dengan ketara kepada RM7.1 bilion pada enam bulan kedua.
Jumlah itu menyaksikan pertambahan ketara perbelanjaan rakyat negara ini di platform BNPL iaitu RM2.2 bilion antara separuh pertama dan RM4.9 bilion pada separuh kedua tahun lalu.
Tambah Baharom, menerusi BNPL pengguna boleh membeli produk atau perkhidmatan serta-merta melalui bayaran secara ansuran tanpa menyedari adanya caj tersembunyi yang dikenakan.
Katanya, pengguna terutama golongan belia tertarik dengan BNPL kerana ia menawarkan bayaran tanpa faedah, tidak perlu memeriksa rekod kredit individu dan boleh membayar secara ansuran.
Dalam pada itu, Baharom berkata, kerajaan juga wajar mempertimbangkan untuk menghentikan skim perkhidmatan ini sekiranya ia memberi kesan buruk kepada trend perbelanjaan rakyat.
“BNPL boleh menyebabkan peningkatan hutang rakyat di negara hampir 100 peratus setiap enam bulan. Malah perkhidmatan BNPL juga memberi masalah sejak beberapa tahun lalu di luar negara,” ujarnya. – UTUSAN







