PUTRAJAYA: Kaedah ‘Beli Dahulu, Bayar Kemudian’ (BNPL) merupakan antara isu yang akan diberi perhatian dalam kajian semakan semula perundangan e-dagang yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dalam isu tersebut, kementerian akan melihat kepada aspek perlindungan pengguna terutamanya berkaitan dengan algoritma sistem pembuatan keputusan secara automatik (ADM).
“Isu ini (BNPL) juga dibincangkan dengan salah satu komponen yang perlu kita lihat adalah aspek perlindungan pengguna contohnya berkaitan dengan algoritma ADM yang mempunyai unsur-unsur manipulatif.
“Jadi ini juga antara perkara-perkara penting yang kita (akan) lihat dalam rangka perundangan ini,” katanya pada sidang akhbar sempena Sesi Libat Urus Semakan Semula Perundangan e-Dagang di sini hari ini.
Media pada 9 Julai lalu melaporkan, mahasiswa diingatkan agar lebih berwaspada dan tidak terjebak dalam skim BNPL yang boleh membebankan mereka dengan hutang yang tinggi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat awal mengenai wujudnya skim pembelian yang kemudian ditukar kepada pinjaman dengan kadar faedah tinggi, sekali gus menjerat mahasiswa dengan beban hutang yang mereka sendiri tidak menyedarinya.
Armizan berkata, beliau mengambil maklum berhubung kegusaran yang disuarakan oleh sekumpulan individu terhadap tindakan sebuah platform e-dagang yang dikatakan menaikkan bayaran yuran.
Mengakui kerangka perundangan sedia ada yang tidak memberikan kuasa kawal selia terhadap platform e-dagang antarabangsa, Armizan menyifatkan kenaikan yuran berkenaan sebagai keputusan perniagaan yang juga dikenakan ke atas negara lain.
“Bagi pendapat saya, sesetengah platform, keputusan tersebut bukan hanya dilakukan di Malaysia (tetapi) di negara-negara lain pun sama. Tapi kalau dilihat pada pandangan saya, ‘it is not timely’ kerana semakan antara platform tersebut, ada semakan yang baru dibuat pada tahun lepas (mungkin) Ogos.
“Sekarang ini mereka menyemak yuran komisen lagi, perkara itu kita tidak boleh kekang 100 peratus tapi kita memikirkan mekanisme bagaimana sekurang-kurangnya sebelum mereka membuat sebarang semakan kepada apa juga caj, mereka akan tampil untuk berunding dahulu dengan KPDN atau pun agensi-agensi tertentu,” ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan, kerajaan digesa campur tangan beban kos yang semakin meningkat yang dihadapi oleh para penjual e-dagang tempatan, susulan kebimbangan berhubung caj baharu oleh sebuah platform yang dijangka boleh menyebabkan kenaikan harga kepada pengguna serta menggugat kestabilan ekonomi digital Malaysia.
Sekumpulan enam penjual dalam talian itu menyuarakan kebimbangan terhadap struktur yuran terbaharu oleh sebuah platform e-dagang berkenaan dengan memberi amaran bahawa perubahan yang dijadual berkuat kuasa pada 16 Julai itu boleh memberi kesan serius terhadap perniagaan kecil di seluruh negara. – UTUSAN







