NARATHIWAT, THAILAND: Penyanyi lagu Bea Sobar Bea, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, atau Eda Ezrin, suami dan empat rakan mengalirkan air mata selepas Mahkamah Wilayah Narathiwat semalam membebaskan mereka daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda pada 1 November lalu.
Keputusan itu dibuat panel dua hakim selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan semasa tiga hari prosiding perbicaraan kes tersebut pada 11, 13 dan 14 Februari lalu.
Hakim menerusi hujah penghakimannya memberitahu, tiada bukti boleh dikaitkan dengan pemilikan 6,059 biji pil kuda itu dengan keenam-enam tertuduh.
Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah hotel di Sungai Golok di sini, juga tidak menunjukkan bahawa mereka membawa masuk semua dadah ke dalam bilik.
“Sebaliknya, ada tiga individu lain yang membawa masuk dadah tersebut ke dalam bilik keenam-enam tertuduh,” katanya.
Bagaimanapun Eda Ezrin; suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama, Eridieka Mohd. Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, dihukum penjara enam bulan dan denda 4,000 bath atau RM526 selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis pil kuda.
Disebabkan berkelakuan sangat baik sepanjang tempoh tahanan reman di penjara, mereka tidak perlu membayar denda tersebut kerana sudah selesai menjalani tempoh pemenjaraan selama lebih empat bulan.
Sementara itu, Eridieka dan Zuhaira turut didenda dengan jumlah yang sama selepas mereka sebelum ini mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara ini.
Mereka juga tidak perlu membayar denda itu kerana sudah menjalani tempoh pemenjaraan di Penjara Wilayah Narathiwat.
Sementara itu, seorang daripada peguam mewakili keenam-enam tertuduh, Sufian Abdul Aziz ketika ditemui pemberita berkata, Eda Ezrin, suami dan empat rakannya dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.
Katanya, bagaimanapun, pihak pendakwaan boleh memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dalam tempoh sebulan sehingga empay bulan.
“Buat masa ini, keenam-enam anak guam saya belum boleh dibenarkan untuk keluar dan perlu berada di dalam penjara sementara menunggu pihak pendakwaan memfailkan rayuan.
“Jika tiada rayuan, mereka akan dibenarkan pulang,” katanya.
Semasa prosiding perbicaraan pada 14 Februari lalu, Eda Ezrin memberi keterangan memaklumkan terdapat empat individu dikenali sebagai Nabila, Mek Jue, Mek Da dan Sirik masuk ke dalam biliknya sebelum polis melakukan serbuan.
Media sebelum ini melaporkan, keenam-enam didakwa atas dua pertuduhan mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda di Mahkamah Wilayah Narathiwat, pada 14 Januari lalu.
Ia susulan pada 1 November 2024, Eda Ezrin, suami dan empat ditahan di sebuah bilik dekat hotel di Sungai Golok bersama biji pil kuda tersebut.










