Dua beradik maut langgar lubang: Syarikat konsesi diminta hantar laporan

Dua beradik maut langgar lubang: Syarikat konsesi diminta hantar laporan

ALEXANDER Nanta Linggi (tiga, kiri) ketika menyerahkan enam Surat Setuju Terima (SST) bagi projek jalan raya dan jambatan pada Majlis Penyerahan SST dan Surat Pelantikan Pegawai Penguasa Projek, hari ini. - FACEBOOK ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat konsesi telah diminta untuk segera menghantar laporan kepada Kementerian Kerja Raya susulan kejadian kemalangan mengakibatkan dua beradik yang dalam perjalanan ke sekolah maut di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara, Kluang Johor baru-baru ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau juga akan bertemu dengan pegawai syarikat konsesi terbabit bagi mendapatkan keterangan terperinci.

“Saya mohon (mereka untuk menyiapkan) laporan terperinci. Kerja pembaikan jalan dimaklumkan telah dibuat. 

“Laporan juga akan disiapkan dengan segera oleh syarikat konsesi terbabit,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Surat Pelantikan Pegawai Penguasa Projek di sini, hari ini.

Pada 21 Mac lalu, media melaporkan dua beradik yang dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pinang maut apabila motosikal dinaiki mereka terbabas selepas terlanggar lubang di jalan Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara, Kluang, Johor.

Tambah Alexander, pihaknya tidak boleh menamatkan kontrak syarikat konsesi terbabit memandangkan perlu melalui proses perjanjian yang telah ditandatangani sebelum ini.

“Kita tidak boleh ambil tindakan untuk menamatkan kontrak. Kita perlu ikut prosedur perjanjian yang telah ditandatangani (sebelum ini),” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan akan membuat pengumuman mengenai tol di lebuh raya sempena Aidilfitri sebaik sahaja mesyuarat Kabinet selesai esok. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN