Bantuan kewangan bank perlu disertai fleksibiliti

Bantuan kewangan bank perlu disertai fleksibiliti

BANK-BANK di negara ini menawarkan bantuan kewangan bagi perniagaan yang berdepan masalah kewangan berikutan konflik di Asia Barat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANTUAN kewangan yang ditawarkan oleh bank-bank tempatan susulan krisis di Asia Barat dilihat sebagai langkah proaktif untuk mengurangkan risiko sistemik terhadap ekonomi negara, menurut Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta). 

Presiden Samenta, Datuk William Ng berkata, keberkesanan bantuan ini bergantung kepada sifatnya yang bersasar, di mana tumpuan diberikan kepada perniagaan kecil dan sederhana (PKS) serta individu yang terjejas secara langsung oleh gangguan rantaian bekalan atau kenaikan kos input akibat konflik serantau.

“Bantuan ini tidak boleh bersifat statik. Ia perlu disertai fleksibiliti dalam penjadualan semula pembiayaan agar tidak membebankan aliran tunai perniagaan dalam tempoh pemulihan yang tidak menentu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, Bank Negara Malaysia (BNM) memainkan peranan penting dalam memastikan institusi kewangan kekal mampan sambil memberikan sokongan kepada peminjam. 

“Dengan kerangka bantuan bersasar, bank dapat bertindak sebagai penyerap hentakan ekonomi. 

“Bagaimanapun, risiko utama adalah tekanan kecairan bank dan potensi peningkatan nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) jika bantuan diberikan tanpa had,” katanya.

Sementara itu, statistik menunjukkan terdapat lonjakan pengisytiharan bangkrap penjamin korporat sehingga 500 peratus, majoritinya pemilik PKS sendiri, akibat moratorium pukal yang dilaksanakan semasa krisis pandemik Covid-19. 

“Sehubungan itu, Samenta menekankan bahawa moratorium pukal tidak sesuai, dan bantuan bersasar seperti yang digalakkan oleh BNM adalah tepat.

“Bagi mengelakkan bantuan kewangan hanya menangguhkan masalah, mekanisme pemantauan yang ketat perlu dilaksanakan bagi memastikan dana sampai kepada penerima yang tepat, terutamanya golongan yang tercicir daripada sistem subsidi konvensional,” katanya.

Selain bantuan kewangan, William berkata, langkah lebih mampan termasuk mempelbagaikan pasaran eksport dan sumber import bagi mengurangkan kebergantungan kepada wilayah yang bergolak. 

“Kerajaan dan pihak bank disarankan bekerjasama menggunakan analisis data yang tepat supaya bantuan kewangan dapat menjadi pemangkin kepada kestabilan ekonomi, bukannya membebankan hutang yang lebih besar kepada rakyat di masa hadapan,” katanya. 

Sementara itu, pengguna, Anis Azmira Zulkefli berkata, dalam keadaan sekarang, pengurangan ansuran bulanan adalah bantuan yang paling terasa kesannya. 

“Apabila kos barang makin naik dan keadaan ekonomi global tidak menentu, setiap ringgit itu sangat bermakna untuk saya. Jadi apabila ansuran dapat dikurangkan, walaupun tidak banyak, saya lega. 

“Sekurang-kurangnya kita tak rasa terlalu sesak setiap hujung bulan dan masih boleh utamakan keperluan keluarga,” katanya. 

Jelas Anis Azmira, keadaan ini lebih selesa untuk memilih pengurangan ansuran. 

“Penangguhan bayaran memang nampak macam sesuai pada awalnya tapi dalam hati tetap ada rasa risau kerana bayaran itu akan terkumpul dan beri bebanan kepada anis kemudian hari. 

“Jadi saya memilih pengurangan ansuran sebagai langkah terbaik,  kerana kita masih bertanggungjawab membayar, cuma pada kadar yang lebih realistik dan mampu ditanggung,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×