PETALING JAYA: Iran dan Amerika Syarikat (AS) gagal mencapai persetujuan di Islamabad, Pakistan selepas rundingan selama 21 jam berakhir semalam untuk menamatkan perang di Asia Barat.
Rundingan bermula kelmarin selama hampir 15 jam, dan disambung semula semalam, gagal selepas Teheran enggan tunduk kepada desakan Washington supaya Iran menamatkan program senjata nuklearnya.
Naib Presiden AS, JD Vance yang mengetuai rundingan itu bagi pihak Washington berkata, pihaknya sedang mendapatkan satu komitmen asas daripada Iran supaya negara itu tidak membangunkan senjata nuklear.
“(Namun), kami masih belum melihatnya,” katanya selepas berlangsungnya pertemuan peringkat tertinggi antara kedua-dua pihak sejak Revolusi Iran tercetus pada 1979 yang menyebabkan pemerintahan Shah Iran yang pro-AS tumbang.
Bagaimanapun, beliau memberi isyarat bahawa pihaknya masih memberi masa kepada Iran untuk mempertimbangkan tawaran AS yang pada Selasa lalu berkata, ia akan menghentikan serangan bersama Israel selama dua minggu sementara menunggu rundingan berlangsung.
Pakistan yang menjadi tuan rumah rundingan dan kepemimpinannya telah membawa kedua-dua pihak yang bertelagah ke meja rundingan berkata, ia akan terus memudah cara dialog serta menggesa kedua-dua negara supaya terus menghormati gencatan senjata sementara itu.
Dalam rundingan yang berlangsung di Hotel Serena, Iran membawa delegasi melebihi 70 anggota diketuai Menteri Luarnya, Abbas Araghchi dan Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf.
Iran sebelum ini menyatakan bahawa gencatan senjata mesti meliputi Lubnan dan pembebasan asetnya yang dibekukan sebelum rundingan dapat diteruskan, namun setakat ini kedua-dua tuntutan tersebut masih belum menjadi kenyataan.
Selain Vance, pasukan rundingan AS turut disertai oleh Utusan Khas AS, Steve Witkoff dan Jared Kushner iaitu menantu Trump dan bekas penasihatnya.
Selepas rundingan dua hari itu berakhir, Vance berlepas pulang ke Washington dan berkata: “Kami meninggalkan tempat ini dengan satu cadangan yang sangat mudah, satu bentuk persefahaman yang merupakan tawaran terakhir dan terbaik kami. Kita akan lihat sama ada pihak Iran menerimanya.”
Sementara itu, penyiar rasmi Iran, IRIB berkata, rundingan tergendala berikutan tuntutan yang tidak munasabah daripada pihak AS walaupun jurucakap Kementerian Luar negara itu kemudian menyatakan bahawa tiada siapa boleh menjangkakan bahawa selepas 40 hari perang, satu persetujuan dapat dicapai hanya dalam satu sesi rundingan.
AS dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari lalu sehingga mencetuskan serangan balas daripada Teheran, menyebabkan Asia Barat terjerumus ke dalam konflik dan menggoncang ekonomi global.
Kementerian Luar Iran pula memaklumkan kepada media kerajaan bahawa perselisihan mengenai dua atau tiga isu utama telah menghalang perjanjian daripada dimeterai.
Walaupun media kerajaan melaporkan bahawa Teheran ketika ini tidak mempunyai rancangan untuk satu lagi pusingan rundingan, jurucakap Kementerian Luar negara itu mengambil nada yang kurang muktamad dengan menyatakan bahawa diplomasi tidak pernah berakhir.
Kelmarin, jurucakap Kementerian Luar Iran berkata, negara itu dan AS telah mencapai persefahaman mengenai beberapa isu, namun masih berbeza pendapat dalam perkara-perkara utama dalam rundingan di Islamabad.
Sebelum ini, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei berkata pada Sabtu bahawa perbincangan sepanjang 24 jam lalu merangkumi topik rundingan utama seperti Selat Hormuz, program nuklear Iran, pampasan perang, pelonggaran sekatan dan penamatan permusuhan, menurut catatan beliau di platform X.
Sekurang-kurangnya 16 kapal melalui Selat Hormuz pada Sabtu, antara hari paling sibuk sejak gencatan senjata antara AS, Israel dan Iran pada Selasa lalu, menurut laporan NBC News.
Dalam pada itu, bekas Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif yang mengetuai delegasi negaranya dalam rundingan nuklear 2015 pada Ahad menyalahkan kegagalan rundingan untuk menamatkan perang di Asia Barat kepada cubaan Washington untuk menentukan syaratnya sendiri.
“Tiada rundingan, sekurang-kurangnya dengan Iran akan berjaya berdasarkan syarat ‘kami/anda’,” kata Zarif. Beliau salah seorang arkitek perjanjian nuklear dengan AS dan kuasa-kuasa dunia lain, yang telah dibatalkan pada 2018 oleh Presiden Amerika, Donald Trump.
“Amerika mesti belajar, anda tidak boleh menentukan syarat kepada Iran. Masih belum terlambat untuk belajar. Buat masa ini,” tambah Zarif dalam satu hantaran di platform X. – UTUSAN










