PETALING JAYA: Kemasukan pelaburan asing yang berterusan serta kestabilan mata wang tempatan menjadi punca utama kepada peningkatan kadar dividen sebanyak 6.3 peratus bagi tahun 2024.
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, kestabilan nilai ringgit sepanjang tahun lalu membantu KWSP mengukuhkan pelaburan dalam pasaran antarabangsa tanpa mengalami kerugian ketara akibat turun naik kadar pertukaran.
“Faktor ini membolehkan KWSP memperoleh pulangan yang lebih tinggi daripada pelaburan luar negara, terutamanya dalam pasaran ekuiti dan aset strategik seperti hartanah serta teknologi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sabtu lalu KWSP mengumumkan kadar dividen 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah bagi 2024 adalah yang tertinggi untuk tempoh sejak 2017.
Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, angka berkenaan membabitkan agihan sejumlah RM63.05 bilion bagi Simpanan Konvensional dan RM10.19 bilion untuk Simpanan Syariah.
Beliau berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan agihan untuk 2024 sebanyak RM73.24 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 16 juta ahli.
Walau bagaimanapun, penganalisis ekonomi dari UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, negara perlu berhati-hati dengan risiko pergolakan kewangan global yang boleh memberi kesan kepada pulangan pelaburan KWSP.
“Ketidaktentuan pasaran antarabangsa, termasuk dasar monetari bank-bank pusat utama seperti Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) dan Bank Pusat Eropah (ECB), dijangka terus mempengaruhi aliran modal global.
“Jika kadar faedah dinaikkan, ini boleh memberi tekanan kepada pasaran ekuiti dan aset yang dipegang oleh KWSP di luar negara,” katanya.
Katanya, ketegangan geopolitik yang berlanjutan serta prospek pertumbuhan ekonomi yang tidak menentu juga boleh menjejaskan sentimen pelabur, sekali gus memberi cabaran kepada KWSP dalam mengekalkan pulangan yang mampan kepada pencarum.
“Di sinilah kebijaksanaan KWSP diperlukan dalam menguruskan risiko pelaburan,” jelasnya. – UTUSAN