Dedahkan terma perjanjian Ocean Infinity cari MH370

Dedahkan terma perjanjian Ocean Infinity cari MH370

Kerajaan diminta memperincikan terma dan syarat perjanjian yang dipersetujui dengan syarikat Ocean Infinity dalam pencarian bangkai pesawat MH370.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memperincikan terma dan syarat perjanjian yang dipersetujui dengan syarikat Ocean Infinity yang berpangkalan di United Kingdom bagi meneruskan operasi pencarian bangkai pesawat MH370.

Bekas Ketua Juruterbang Malaysia Airlines (MAS), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, fi berjumlah AS$70 juta (RM310.3 juta) adalah kos yang besar, setara dengan pembinaan tiga hospital di negara ini, meskipun ia berasaskan prinsip no find, no fee.

“Adakah pembayaran itu akan dibuat berdasarkan penemuan rakaman video serpihan di dasar laut, penemuan kotak hitam atau serpihan bangkai pesawat MH370?

“Adakah kos ini benar-benar berbaloi? Ini kerana pencarian menggunakan dron selam dianggarkan sekitar RM200,000 sehari. Jika 10 hari, kosnya baru mencecah RM2 juta. Oleh itu, kerajaan perlu memperincikan kos ini dengan teliti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memaklumkan jemaah menteri bersetuju dengan terma dan syarat perjanjian syarikat berkenaan bagi operasi pencarian bangkai pesawat MH370.

Operasi pencarian dasar laut ini melibatkan kapal tercanggih dari segi teknikal, yang akan meneroka kawasan seluas kira-kira 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi.

Nik Ahmad Huzlan turut menegaskan kerajaan perlu menyatakan tarikh sebenar perjanjian akan ditandatangani dengan syarikat teknologi robotik tersebut.

Menurutnya, Ocean Infinity belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai perjanjian itu walaupun usaha pencarian dan pemetaan sudah dilakukan.

“Jika kapal terbang boleh dipantau pergerakannya selama 24 jam, perkara sama juga boleh dilakukan terhadap kapal di laut menerusi data penjejakan marin.

“Kapal 7806 iaitu kapal sokongan laut dalam milik Ocean Infinity dilaporkan sudah tiba di zon pencarian baharu kira-kira 1,500 kilometer dari pantai Perth, bulan lalu,” katanya.

Beliau turut menegaskan usaha pencarian itu perlu melibatkan wakil atau pakar dari Malaysia bagi memastikan setiap perkembangan harian dilaporkan dengan telus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN