Tragedi MH370 sukar dirungkai sekiranya kotak hitam rosak

Tragedi MH370 sukar dirungkai sekiranya kotak hitam rosak

Misteri kehilangan MH370 semakin sukar dirungkai kerana jarak pencarian yang luas dan kemungkinan kotak hitam mengalami kerosakan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Misi pencarian pesawat MH370 di dasar Lautan Hindi kini semakin mencabar dan mungkin kotak hitam pesawat itu juga telah rosak.

Menurut penyiasat kemala­ngan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar, fokus utama pasukan kini adalah untuk menemukan puing pesawat bagi mengesahkan kedudukan terakhirnya.

“Sebarang data daripada kotak hitam berkemungkinan besar tidak dapat diperoleh kerana sudah rosak.

“Tanpa maklumat kotak hitam, pasukan akan menghadapi kesukaran untuk memahami mengapa pesawat itu diterbangkan ke kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kelmarin media melaporkan operasi pencarian MH370 akan dimulakan semula oleh Ocean Infinity pada 30 Disember 2025.

Langkah itu menandakan perkembangan penting dalam misi pencarian pesawat yang hilang sejak 2014 itu selepas perjanjian perkhidmatan an­tara kerajaan Malaysia dan syarikat penerokaan subsea antarabangsa Ocean Infinity dimeterai pada 25 Mac 2025.

Mengulas lanjut, Abdul Rahmat berkata, teknologi canggih termasuk Advanced Autonomous Underwater Vehicle (AAUV) akan digunakan bagi memudahkan operasi itu.

“AAUV mampu beroperasi secara autonomi pada kedalaman sehingga 6,000 meter tanpa kabel kawalan dan boleh bertugas sehingga 100 jam sebelum kembali ke kapal induk untuk menghantar data,” jelasnya.

Katanya, lebih daripada satu AAUV boleh dioperasikan se­rentak tanpa risiko kabel berbelit, membolehkan kawasan pencarian yang luas diterokai dengan lebih efisien.

“Ini penting memandangkan kawasan yang perlu dicari sangat luas,” ujarnya.

Selain itu katanya, faktor cuaca dan keadaan laut yang tidak menentu akan menjadi cabaran utama walaupun hemisfera selatan ketika ini berada dalam musim panas.

“Keadaan laut boleh berubah dengan cepat dan berisiko untuk menjejaskan operasi,” katanya selain risiko kerosakan teknikal pada AAUV atau per­alatan sokongan sentiasa wujud.
Abdul Rahmat menekankan, sehubungan itu pasukan terlibat perlu sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Puing yang ditemui akan mengesahkan lokasi terakhir MH370 dan membantu keluarga mangsa memahami tragedi ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN