ISKANDAR PUTERI: Berang ditinggalkan kekasih, seorang wanita dan tiga rakannya bertindak melarikan seorang lelaki warga Sri Lanka itu dari sebuah kedai cuci kenderaan, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang memaklumkan pekerjanya yang berusia 26 tahun itu dilarikan kira-kira pukul 9 pagi, 28 Februari lalu.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota membuat serbuan bermula 12.30 tengah malam hingga 7.30 pagi keesokan harinya.
“Dalam serbuan itu, polis menahan dua lelaki dan dua wanita berusia 18 hingga 37 tahun di kawasan Kuala Selangor dan kawasan Bestari Jaya, Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam serbuan itu, polis merampas empat telefon bimbit pelbagai jenama dan dua buah kereta.
Seorang daripada suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau.
“Hasil siasatan mendapati mangsa adalah kekasih kepada salah seorang suspek wanita dan mangsa telah meninggalkan teman wanitanya itu.
“Dua suspek lelaki telah dituduh di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini, manakala dua suspek wanita dibebaskan,” katanya.
Bagaimanapun, dua suspek lelaki itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM1,000 dan RM3,500 serta sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Mac ini.-UTUSAN