Minyak dan gas cukup

Minyak dan gas cukup

ANWAR Ibrahim (kiri) berucap pada Dialog Kuala Lumpur-Ankara di ibu negara, semalam. – utusan/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekalan mi­nyak Malaysia mencukupi untuk mem­enuhi keperluan tempa­tan se­hingga beberapa bu­lan akan da­tang selepas kapal milik Malaysia melepasi Selat Hormuz semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) mempunyai rangkaian hubu­ngan yang kukuh dengan negara pengeluar minyak lain dan ia memastikan bekalan bahan api Malaysia mencukupi.

“Walaupun Malaysia adalah negara pengeluar minyak, kita juga merupakan pengimport ber­sih kerana produk kita adalah berkualiti premium. Namun, bekalan kita mencukupi untuk beberapa bulan akan datang.

“Pujian harus diberikan kepada Petronas atas prestasi cemerlang dan hubungan baik de­ngan negara-negara pengeluar mi­nyak, kerana itu kita tidak berdepan krisis bekalan.

“Mungkin terdapat sedikit tu­­run naik harga tetapi dalam be­­berapa bulan akan datang be­ka­lan agak terjamin,” katanya da­­lam ucapan dasar pada Dialog Kua­­la Lumpur-Ankara 2026 di sini semalam.

Kelmarin, Kedutaan Iran di Malaysia memaklumkan bahawa kapal pertama milik negara sudah melepasi Selat Hormuz.

Ia selepas Presiden Iran, Masoud Pezeshkian membenarkan Malaysia mendapatkan pelepasan bagi tujuh kapal yang terkandas di Selat Hormuz, meneruskan pelayaran.

Anwar turut memberi jaminan bahawa Malaysia mempunyai bekalan gas asli cecair (LNG) yang mencukupi di­sebabkan pengeluaran besar bahan api itu oleh negara, selain import dari Australia yang sudah lama terjalin dan kejayaan perolehan di Kanada.

Perdana Menteri berkata, beliau berhubung dengan Pre­siden Iran, Masoud Pezeshkian bagi menyampaikan kebimbangan negara lain di rantau itu termasuk Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.

Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai saluran komunikasi tidak rasmi antara pihak yang berpotensi bertentangan, sekali gus mengurangkan risiko ketegangan yang boleh menjejaskan kestabilan serantau.

“Malaysia berperanan memudahkan komunikasi antara negara, memastikan mesej disampaikan dengan tepat dan memperkukuh kepercayaan, tanpa terikat kepada mana-mana blok kuasa,” katanya.

Ia membuktikkan keupayaan Malaysia dalam arena geopolitik global terutama dalam isu melibatkan keamanan dan kestabilan ekonomi serantau.

Katanya, mesej disampaikan kepada Masoud dan pelbagai negara lain adalah berasaskan kepercayaan peribadi dan hubungan diplomatik yang kukuh.

Anwar berkata, ia tidak menandakan Malaysia berpihak kepada mana-mana negara, sebaliknya hanya mahu terus memelihara kepentingan nasional sambil menyumbang kepada keamanan serantau.

Beliau sentiasa berinteraksi dan bertukar pandangan dengan pemimpin dari benua tersebut.

Anwar turut menghargai bantuan dari Masoud yang membolehkan kapal minyak milik Malaysia melintasi Selat Hormuz selepas terkandas di laluan strategik tersebut akibat perang.

“Dalam perbualan saya dengan Presiden Iran, saya memaklumkan beberapa kapal utama kita tersekat dan ini akan menimbulkan kesukaran. Beliau segera memberi arahan supaya perkara itu ditangani dan memberi jaminan bahawa mereka akan mengambil tindakan dengan segera.

“Ini hanya boleh berlaku dengan tahap kepercayaan yang dibina seperti ini. Saya juga memahami pendirian Iran dan sebab itu kita tidak menyokong sepenuhnya gesaan untuk membuka laluan tanpa mengambil kira isu di Asia Barat,” katanya.

Anwar berkata, beliau memahami kebimbangan disuarakan negara Asia Barat susulan tindakan Iran meningkatkan ketegangan dan memberi kesan kepada negara jiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN