PONTIAN: Walaupun terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar Pontian, ia bukan halangan bagi pengusaha Teinot Cafe menawarkan pakej berbuka puasa dengan harga Rahmah.
Pemiliknya, Khairul A.Kadir, 46, berkata, kafenya yang beroperasi sejak tiga tahun lalu ingin berkongsi dengan semua golongan untuk menikmati juadah berbuka puasa ‘ala hotel’ di kawasan kampung.
Beliau menawarkan dua harga iaitu bagi tempahan awal dan datang terus, masing-masing pada kadar RM44 dan RM54, manakala warga emas pada RM34.
“Bagi pelajar sekolah menengah (RM34/RM44) sekolah rendah (RM24/RM34),tadika (RM10/RM20) dan kanak-kanak bawah lima tahun percuma,” katanya kepada Utusan Malaysia di kafenya di Jalan Suradi, Kampung Parit Kerimun, Benut, dekat sini.
Bagi mendapatkan bekalan ikan dan udang, dia akan pergi ke Pasar Borong Batu Pahat pada pukul 3 pagi atau ke Pasar Borong Pandan, Johor Bahru.
“Ketam pula dibeli di Pasir Gudang, daging di Taman Universiti. Walaupun penat tetapi nak dapatkan harga yang terbaik,” katanya yang lebih mesra dipanggil Koi.
Tempahan daripada pelanggan pada hujung minggu biasanya meningkat dan dia memerlukan 20 ekor ikan yang dipotong dan masing-masing 10 kilogram undang, ketam dan sotong kurita.
Dia yang bertindak sebagai tukang masak turut dibantu oleh dua pekerja serta tujuh petugas di bahagian hadapan bagi menyambut tetamu dan menghidangkan makanan.
“Pelanggan yang paling jauh dari Kuala Lumpur dan Singapura yang mengetahui menerusi media sosial. Alhamdulillah, sambutan orang ramai amat baik dan mereka memberikan maklum balas positif terhadap menu serta harga,” katanya.











