BUTTERWORTH : Bekas calon parti Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Jermal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang 2023 dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan gelaran Datuk palsu sejak empat tahun lalu.
Tertuduh, Ong Chuan Jin, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Nor Azah Kasran.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) didakwa mempamerkan gelaran darjah kebesaran negeri Pahang di bahagian depan dan belakang kad namanya sedangkan tiada sebarang darjah kebesaran dan pingat dianugerahkan terhadapnya.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Raja Uda, Butterworth di sini kira-kira pukul 1 petang pada bulan Mei 2022.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 3 (1)(d) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 (Enakmen No. 18 Tahun 2017) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3(3) enakmen sama.
Sabit kesalahan, Chuan Jin mungkin berdepan hukuman maksimum iaitu penjara sehingga lima tahun atau denda sebanyak RM500,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin menawarkan jaminan sebanyak RM30,000. Namun, tertuduh yang diwakili peguam, Ong Chin Wen merayu agar jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak bekerja.
“Anak guam saya hanya aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan membantu golongan memerlukan malah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 April sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN