KUALA LUMPUR: Penubuhan Majlis Muzium antara cadangan dalam Akta Muzium yang kini pada peringkat akhir penggubalan, bagi mengawal selia aktiviti muzium di seluruh negara.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, akta itu akan memastikan pengurusan institusi berkenaan dilaksanakan secara lebih cekap, tersusun dan mampan selaras dengan perubahan fungsi muzium dalam masyarakat moden.
“Akta ini bertujuan memastikan pengurusan muzium lebih cekap dan mampan melalui kerangka undang-undang yang jelas.
“Akta ini dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen November,” katanya ketika merasmikan Seminar Muzium Antarabangsa Malaysia 2025 bertemakan The Future of Museums in Rapidly Changing Communities di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, draf akta itu sedang melalui proses pindaan akhir selepas dibentangkan di peringkat Jemaah Menteri.
Antara kandungan penting akta ialah cadangan penubuhan Majlis Muzium yang akan berfungsi sebagai badan penasihat dan pemantau terhadap penubuhan dan operasi institusi muzium di Malaysia.
“Akta ini dirangka mengikut standard antarabangsa mengambil kira amalan di negara lain.
“Beberapa negeri seperti Pulau Pinang sudah mempunyai enakmen, manakala Perak masih dalam proses merangka draf,” katanya.
Tambah Kamarul, walaupun Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) mengawal hal berkaitan tapak, monumen serta warisan ketara dan tidak ketara, ia tidak merangkumi aspek pengawalan dasar muzium secara menyeluruh.
“Justeru, kita mahu wujudkan sistem penarafan serta kawal selia terhadap pengoperasian muzium-muzium baharu, terutama muzium persendirian,” katanya. – UTUSAN










