GWM Haval H6 HEV: Bikin hati goyang

GWM Haval H6 HEV: Bikin hati goyang

GWM Haval H6 HEV
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HASRAT kerajaan untuk membuatkan rakyat sedar bahawa subsidi bahan api tidak boleh diteruskan selamanya memang menjadi.

Ini kerana penulis kini sering dibanjiri dengan persoalan dari orang awam berkaitan kenderaan mana yang lebih efisien. Sama ada mereka mahu mengurangkan penggunaan bahan api dan kadar pelepasan karbon atau mereka mengeluh harga bahan api sekarang terlalu tinggi, itu tidak dapat dipastikan.

Berbalik kepada tawaran pasaran untuk model hibrid, genre ini sering dikawal oleh jenama Jepun kerana berbanding dengan mesin hibrid dari Eropah, model-model dari negara matahari terbit itu ternyata lebih lasak dan lebih mampu.

Namun begitu, China kini tampil dengan produk-produk hibrid mereka dan antara yang mencuri perhatian ramai ialah dari GWM, model Haval H6 HEV.

Dipasang di Pegoh, Melaka oleh EP Manufacturing Berhad (EPMB), Haval yang ini menyasarkan model-model global seperti Honda CR-V dan Mazda CX-5, termasuk dari jenama kebanggaan rakyat Malaysia, Proton X70.

Reka bentuk luaran H6 HEV memang nampak bergaya dan ada ciri-ciri Eropah, terutama bila kita berdiri di hapadannya. Reka bentuk lampu utama yang modern dengan gril yang cukup mewah itu menjadikan pesaing di dalam kategori ini nampak seperti kenderaan dalam tahun 1975.

Profil sisi tidak begitu moden, walaupun ada lekuk-lekuk yang cuma nampak seksi sementara bahagian belakang memang kelihatan seperti kenderaan utiliti sukan (SUV) China yang lain.

Bahagian dalam Haval ini mungkin bukan untuk semua. Walaupun reka bentuk kabin memang modern dan bergaya, pilihan warna pula pasti akan ada yang mencebik tanda protes.

Susun atur papan pemuka memang bersahaja dan moden dan kontras antara bahagian gelap di atas dan warna cerah di bawah juga adalah sesuatu yang moden. Pilihan warna perak kusam yang menjadi sempadan itu yang nampak sedikit janggal untuk selera Malaysia. 

Mungkin jika ditukar kepada warna hitam atau warna lain pun yang lebih lembut, seluruh tona warna kabin ini akan nampak lebih berprestij.

Apa pun, skrin-skrin definisi tinggi yang diberikan lengkap dengan reka bentuk “interface” yang lebih Eropah dari China. Ini sesuatu yang baik dan GWM memang terkenal dengan kecenderungan ia untuk menarik selera pasaran barat.

REKA bentuk dalaman yang moden.

Tempat duduk tidak begitu ‘Mat Saleh’, tetapi selesa dan dilengkapkan dengan fungsi-fungsi elektrik canggih. Begitu juga dengan bumbung kaca dengan ‘sunroof’, menaikkan lagi rasa premium SUV ini yang sebenarnya lebih murah dari tawaran jenama Jepun.

Jajan-jajan lain yang diberikan termasuk kamera 360-darjah dengan mod halimunan, pembersih udara kabin dengan pengecas ion negatif, ‘head-up display’ berwarna, ADAS Level 2, Wisdom Dodge Control (fungsi di mana Haval ini akan membantu anda menjauhi kenderaan besar seperti lori), roda aloi 19-inci (perlu periksa kos menggantikan tayar), pendingin hawa dua zon, sistem audio lapan pembesar suara dan pelbagai lagi.

Ruang but sebesar 560 liter memang lebih dari mencukupi untuk kebanyakan lelaki tetapi masih kecil untuk kaum isteri dan ibu di kampung. Ini memang satu isu semasa yang penting tetapi untuk sebuah SUV dalam saiz ini, ruang but itu adalah antara yang terbesar.

Tenaga datang dari enjin 1.5L turbo dan dibantu dengan motor elektrik, memberikan tenaga maksimum 243 PS dan 530Nm. Daya kilas itu lebih tinggi dari Ford Ranger Raptor diesel tetapi ini bukan bermakna anda perlu berlumba dengan semua kenderaan lain di jalan raya.

Fungsi utama hibrid ialah penjimatan bahan api dan ia memang lebih jimat dari kenderaan enjin biasa yang memberikan tenaga setinggi itu. Haval mendakwa ujian homologasi memberikan keputusan penggunaan bahan api serendah 5.8L untuk setiap 100 kilometer (km). Namun begitu, ujian kami selama hampir seminggu dengan H6 HEV ini mendapati kami cuma mendapat lebih kurang 8.0L per 100 km.

Enjin turbo memang pelahap dan China masih belum fasih perihal enjin-enjin seperti jenama legasi yang lain. Bukan mudah untuk memadankan kenderaan dengan enjin dan transmisi secara optimum dan mungkin China memerlukan beberapa tahun lagi.

Selain dari itu, enjin turbo itu sebenarnya sangat responsif dan tindak balas stereng juga tidak mengecewakan sangat. Penulis masih gemar untuk memandu santai bagi SUV ini kerana sistem gantungan masih tidak begitu sesuai bagi selekoh laju.

Pemanduan secara keseluruhan tidak begitu ‘lancar’ dan ‘lembut’ seperti jenama Eropah, Jepun dan Korea tetapi untuk pemandu biasa, perbezaan itu tidak ketara, terutama mereka yang sebelum ini hanya pernah memandu jenama-jenama nasional kita.

Ada fungsi-fungsi biasa yang memerlukan usaha yang lebih dari pemandu kerana GWM memilih untuk menggunakan banyak input dari skrin sesentuh besar itu dan bukan dari butang-butang fizikal.

Ini masih lagi taktik dewan pameran tetapi lambat-laun, pengguna akan faham butang fizikal adalah lebih mudah dan selamat digunakan ketika memandu.

Secara keseluruhan, produk ini sudah matang dan sudah mampu memberikan kejutan kepada jenama-jenama biasa. Harga masih menjadi strategi utama untuk China dan harga yang dipinta oleh GWM untuk Haval H6 HEV ini yang terletak di antara jenama nasional dan jenama Jepun sudah cukup untuk membuat ramai pening kepala.

Waranti 10 tahun atau sejuta km memang pasti membuatkan ramai yang terdiam kerana tidak ada waranti sebegitu di Malaysia kerana GWM mahu membunuh terus rasa tidak yakin pengguna terhadap produk mereka.

Pakej padat dengan nilai yang berbaloi, anda perlu mencuba Haval ini sebelum membuat keputusan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×