PUTRAJAYA: Syarikat penerbangan, AirAsia mengesahkan sebuah pesawat miliknya yang membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tengah malam tadi bukan mengalami masalah kebakaran enjin.
Timbalan Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (Operasi Penerbangan), Chester Voo berkata, pesawat tersebut berpatah balik dan mendarat cemas di KLIA 2 akibat masalah kerosakan saluran udara atau ‘duct’ di salah satu enjinnya menyebabkan pelepasan udara panas.
“AirAsia mengesahkan tidak berlaku kebakaran enjin. Pesawat itu dijangka beroperasi semula Isnin ini.
“Juruterbang dan kru kabin kami terlatih untuk menangani situasi sebegini, dan pesawat berjaya mendarat dengan selamat tanpa sebarang insiden lanjut selepas prosedur yang sewajarnya dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
AirAsia turut mengesahkan semua 171 penumpang selamat keluar dari pesawat dan dipindahkan ke penerbangan lain yang berlepas pada 3.46 pagi.
Pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bao’an, Shenzhen, pada 7.51 pagi.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan, pesawat AirAsia jenis Airbus A320-216 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Shenzhen terpaksa berpatah balik dan melakukan pendaratan kecemasan di Klia2 selepas mengalami kebakaran enjin.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu sekitar pukul 10:37 malam.
Beliau berkata, seramai sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) telah dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 10:45 malam.
“Pesawat yang membawa 171 penumpang dan anak kapal itu mengalami kebakaran pada bahagian enjin kanan akibat kerosakan Pneumatic Ducting Burst.
“Bagaimanapun, api berjaya dipadamkan oleh sistem Halon pesawat sebelum mendarat,” katanya. – UTUSAN