UMNO tak lupa perjuangan asal

UMNO tak lupa perjuangan asal

UMNO tidak pernah melupakan perjuangan asal parti sehingga ia ditolak oleh ahlinya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO tidak pernah melupakan perjuangan parti iaitu agama, bangsa dan negara apatah lagi ‘memekakkan telinga’ berhubung suara akar umbi yang memberi sokongan kepada parti itu selama ini.

Sebaliknya, kekalahan teruk UMNO pada beberapa pilihan raya sejak 2018 adalah hasil fitnah, tohmahan dan dakyah buruk pemimpin luar dan dalam parti sehingga mengikis kepercayaan rakyat.

Menangkis kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa UMNO gagal memahami sentimen rakyat, Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa berkata, Dr. Mahathir adalah antara individu bertanggungjawab menjatuhkan parti itu dengan persepsi buruk sebelum ini.

Katanya, rakyat tidak menolak UMNO kerana partinya itu tidak bagus sebaliknya ditolak disebabkan persepsi buruk dibawa pemimpin seperti Dr. Mahathir dan rakan-rakan seangkatannya pada 2018.

“Kita ditolak kerana fitnah, dakyah dan tomahan, terapi kini orang Melayu khususnya sudah sedar dan faham bahawa UMNO tidak bersalah, jadi sebahagian besar mereka kembali ke pangkuan parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

TerdahuluDr. Mahathir berkata, pemimpin bekas parti yang pernah dipimpinnya itu tidak memahami sentimen pengundi sehinggakan ditolak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kalau tengok sejarah, UMNO menang 80 ke 90 kerusi, sekarang orang lari daripada UMNO sebab tidak berpegang kepada dasar. Bagi saya, dalam Pilihan Raya kKe-15, UMNO begitu sombong sekali dan yakin boleh menang di seluruh negeri, akhirnya dia kalah dapat 26 kerusi sahaja.

“Jadi, orang yang pimpin UMNO perlu faham sentimen di bawah,” katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia.

Mengulas lanjut Othman berkata, beliau hairan mengapa Dr. Mahathir sehingga kini masih bercakap soal UMNO sedangkan sudah meninggalkan parti itu sejak sekian lama.

“Mungkin Tun Dr. Mahathir sudah lupa bahawa beliau bukan lagi ahli UMNO, jika beliau hendak bercakap soal Perikatan Nasional (PN) dan sebagainya silakan, tetapi kenapa tidak habis-habis bercakap mengenai UMNO.

“Tun juga jangan lupa bahawa orang Melayu menolaknya dalam PRU-15 sehingga beliau hilang kerusi Parlimen Langkawi dan hilang deposit. Sudah tidak relevan untuk beliau bercakap soal UMNO,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN