KUALA LUMPUR: Tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memiliki senjata ketika merusuh, penghujung bulan lalu.
Penggangur, R. Thiban Raj, 27, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut manakala S. Jeevan, 19, dan remaja bawah umur itu mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan sama.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu didakwa memiliki pisau yang digunakan untuk menyerang ketika satu rusuhan pada pukul 6.20 pagi, 29 Januari lalu di hadapan Kelab Top Plus, Jalan Klang Lama di sini.
Kejadian rusuhan itu tular dengan rakaman menunjukkan sekumpulan individu dirempuh dua buah kereta pacuan empat roda.
Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Ravinderjit Kaur memohon hukuman setimpal dikenakan kepada Thiban Raj sebagai pengajaran kepada lelaki itu.
Thiban Raj yang diwakili peguam bela, C. Aiswarya Devi merayu kepada mahkamah agar diberikan denda paling minimum atas alasan anak guamnya tidak bekerja, mempunyai kecederaan tulang belakang yang memerlukan rawatan fisioterapi dan perlu menanggung ibu bapa serta tiga adik.
Majistret Amira Abd. Aziz kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,200 dan penjara tiga bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut.
Sementara itu, bagi Jeevan dan remaja bawah umur itu, pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah agar kedua tertuduh dikenakan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.
Peguam bela, T. Mishant yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu agar anak guamnya diikat jamin pada kadar yang adil dan munasabah.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua tertuduh itu diikat jamin RM1,200 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 April ini.
Pada 30 Januari lalu, tular sebuah video menunjukkan sekumpulan individu dirempuh dua buah kereta jenis pacuan empat roda, Hilux dan Toyota Vios.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham di antara kumpulan suspek dengan mangsa ketika berhibur. –UTUSAN










