ALOR GAJAH: Tiada kes kusta dikesan dalam kalangan penduduk Orang Asli di Melaka terutama di Bukit Putus dan Pulau Sebang di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, Jabatan Kesihatan Negeri dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah meningkatkan pemantauan dan saringan di penempatan berisiko.
Menurutnya, pemantauan berkala dilakukan kepada masyarakat Orang Asli di dua lokasi tersebut memandangkan perkampungan berkenaan terletak di sempadan Negeri Sembilan yang merekodkan penularan wabak kusta di dua kampung di Kuala Pilah.
“Setakat ini tidak ada sebarang laporan diterima berkaitan penduduk di Bukit Putus dan Pulau Sebang dijangkiti kusta.
“Pemantauan berkala termasuk keluar masuk dilakukan oleh pihak terlibat terhadap dua perkampungan Orang Asli di negeri ini. Kita bimbang mereka pergi bercampur, berjumpa kawan atau mungkin ada saudara mara di Kuala Pilah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Cilik Perpaduan Kembali ke Taska dan Tabika Peringkat Negeri di Pusat Aktiviti Perpaduan (PAP) Daerah Alor Gajah, hari ini.
Sebelum ini, seorang remaja perempuan Orang Asli di Negeri Sembilan dilaporkan meninggal dunia akibat kusta manakala lapan lagi individu diberikan rawatan lanjut.
Tambah Hee Sem, pemerkasaan terhadap kurikulum Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan di negeri ini akan terus ditambah baik bagi memastikan ia kekal relevan dalam pembentukan perpaduan masyarakat.
Menurutnya, tiada premis baharu akan dibuka tahun ini iaitu kekal dengan jumlah sedia ada iaitu 64 buah tabika dan empat taska membabitkan seramai 1,428 murid.
“Cuma tahun ini Jabatan Perpaduan negeri mendapat peruntukan RM100,000 bagi kerja-kerja baik pulih melibatkan enam tabika,” ujarnya. – UTUSAN









