PETALING JAYA: Tiada sinergi atau kerjasama antara ibu bapa dan pihak sekolah dalam menangani keciciran pelajaran antara faktor berlakunya keciciran pelajar di sekolah.
Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salleh Amat berkata, perkara itu berlaku apabila pelajar gagal dihubungi sekiranya mereka tidak hadir ke sekolah tanpa dimaklumkan daripada ibu bapa.
“Selain itu, kurangnya kesedaran berkaitan kepentingan pendidikan dalam kalangan ibu bapa menyebabkan mereka tidak peka terhadap isu akademik anak-anak menjadikan pelajar terus hilang dari radar sekolah dan ia boleh berlaku di kawasan bandar ataupun luar bandar.
“Ada juga pelajar yang tidak berminat belajar di sekolah. Bagi mereka suasana pembelajaran tidak menarik dan guru juga gagal menambat minat pelajar untuk mengikuti pembelajaran di sekolah.
“Ini ditambah dengan faktor rakan sebaya yang menggalakkan mereka ponteng dari sekolah malah tindakan itu tidak diketahui oleh ibu bapa mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, kadar keciciran murid sekolah rendah dan menengah dilaporkan menurun secara keseluruhannya daripada 21,748 orang pada tahun 2020 kepada 13,007 orang tahun lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, daripada jumlah itu, 2,873 pelajar merangkumi 883 murid sekolah rendah dan 1,990 murid sekolah menengah telah dikembalikan ke sekolah tahun lalu.
Mengulas lanjut, Salleh berkata, bagi menangani perkara itu, pihak sekolah perlu mempunyai data atau maklumat terperinci berkaitan pelajar tercicir.
Katanya, tanpa maklumat tersebut, adalah sukar untuk menjalankan intervensi yang berkaitan.
“Selain itu, pihak sekolah perlu menyediakan suasana sekolah yang selamat dan menyeronokkan bagi menarik minat pelajar yang tercicir untuk kembali ke sekolah.
“Pada masa sama, para guru mata pelajaran juga perlu lebih kreatif dengan menyediakan suasana pembelajaran yang menarik dan berinovasi bagi menarik minat pelajar untuk mengekalkan kehadiran berada di sekolah.
“Langkah ini bagi menarik minat kepada pelajar yang merasa bosan untuk berada di sekolah atau tidak minat berada di sekolah,” katanya. – UTUSAN











