SWASLA berkesan, lakukan 203,669 pengesanan - Utusan Malaysia

SWASLA berkesan, lakukan 203,669 pengesanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) berjaya melakukan 203,669 pengesanan dari 2020 hingga Januari lalu dan membuktikan sistem tersebut membantu kecekapan bagi mematahkan ancaman maritim.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merekodkan daripada jumlah pengesanan itu sebanyak 3,489 sasaran curiga dan agensi tersebut melaksanakan sebanyak 1,436 pemeriksaan lanjut yang melibatkan 271 tangkapan atas pelbagai kesalahan.

Berdasarkan statistik pada tahun lalu, terdapat 68 kes penangkapan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melibatkan 236 orang tahanan daripada pelbagai negara manakala terdapat 84 kes penahanan vesel nelayan asing (VNA) yang menceroboh perairan negara direkodkan dalam tempoh yang sama melibatkan 595 kru VNA pelbagai kewarganegaraan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mengambil kira keberkesanan sistem SWASLA terhadap pengoperasian Maritim Malaysia, maka kerajaan sudah merancang pembinaan Pusat Kawalan Utama (MCC) dan Tapak Sensor Jauh (RSS) yang meliputi perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan perairan Sarawak.

Kata beliau, ia untuk memastikan pengawasan dan pemantauan SWASLA yang lebih menyeluruh serta berkesan di kawasan perairan negara.

“Bagi projek perolehan SWASLA Sarawak, kos keseluruhan yang diluluskan adalah sebanyak RM200 juta yang melibatkan sebuah MCC di Kuching, Sarawak dan tiga RSS di Tanjung Datu, Miri dan Bintulu.

“Manakala bagi kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia, satu kajian perolehan SWASLA telah diluluskan dengan kos sebanyak RM10 juta bagi mengkaji kesesuaian penempatan RSS di lokasi-lokasi strategik di mana antara cadangan lokasi adalah di Pulau Tioman, Pahang, Pulau Perhentian, Terengganu dan Pulau Tenggol, Terengganu,” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) yang memintanya menyatakan sejauh manakah keberkesanan SWASLA dalam pemantauan berterusan di sepanjang perairan negara bagi membendung PATI yang didapati menyeludup masuk ke negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN