IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menjadi tetamu utama Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Negeri Perak tahun 2025 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad serta barisan Exco, kepimpinan dan pentadbiran negeri.
Majlis tersebut bermula dari pukul 10.30 pagi sehingga petang dihadiri kira-kira 17,000 orang ramai yang mengunjungi khemah makanan di pekarangan stadium selain menyaksikan persembahan tradisional masyarakat Cina.
Semasa kemuncak majlis, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan menggaul ‘yee sang’ sebagai simbolik sambutan perayaan dan turut menyampaikan sumbangan angpau kepada 68 penerima dari pelbagai rumah kebajikan.
Penerima terdiri daripada mereka dari Pusat Jagaan Pertubuhan Pengurusan Rumah Anak-Anak Yatim dan Miskin Anning Ipoh, Pusat Jagaan Anak-anak Yatim dan Miskin Nurul Iman, Pertubuhan Pengurusan Pusat Jagaan 1Malaysia Perak, Pertubuhan Kebajikan Kanak-kanak Berjasa Kinta dan Pusat Jagaan Anak Yatim Kasih Sayang Ipoh.
Menteri Besar Perak ketika menyampaikan sembah ucapan berkata, perayaan yang diraikan saban tahun wajar menjadi ingatan dan teladan betapa nikmat keamanan sejak lebih enam dekad tidak mungkin kekal secara automatik.
“Mesti dibajai dengan semangat persefahaman, disirami dengan nilai tolak ansur dan disuburkan dengan sifat keikhlasan.
“Seruan ini diungkap tatkala wujud anasir yang semakin nyaring meniup api permusuhan, mengatur naratif perpecahan dan menabur dakyah adu domba melalui neraca kaum dan agama, sehingga masyarakat berbilang kaum sentiasa dibayangi fitnah, lantas mengundang tebalnya rasa curiga dan syak wasangka.
“Dakyah yang diatur dengan sentimen politik yang berlebih-lebihan, tidak sedikit pun membantu dalam pembinaan masyarakat, malah menjadi asbab kepada perpecahan dan keruntuhan, sekaligus meletakkan negeri dan negara di ambang kemusnahan,” katanya. – UTUSAN