KUALA LUMPUR: Asia bakal menjadi pusat tumpuan dalam peralihan tenaga global, dengan unjuran menunjukkan rantau ini akan menyumbang hampir 50 peratus daripada penggunaan tenaga dunia menjelang 2050.
Justeru, kejayaan atau kegagalan peralihan tenaga global sangat bergantung kepada tindakan dan pelaburan yang dilaksanakan di Asia.
Pengarah Urusan dan Ketua Global Penggabungan dan Pengambilalihan (M&A) Teknologi Bersih dan Alam Sekitar Standard Chartered, Sujay Shah berkata, Asia menawarkan peluang pelaburan tenaga bersih terbesar di dunia, dianggarkan memerlukan antara AS$25 trilion (RM117.5 trilion) hingga AS$50 (RM235 trilion) menjelang 2050 untuk menyokong transformasi ini.
“Antara sektor utama yang dikenal pasti iaitu tenaga boleh diperbaharui di ASEAN memerlukan sekitar AS$1.3 trilion (RM5.6 trilion) menjelang 2030.
“Rantaian nilai kenderaan elektrik (EV) yang berkembang pesat dengan pertumbuhan tahunan hampir 30 peratus.
“Selain itu, pelaburan dalam grid tenaga: terdapat jurang pelaburan sekitar AS$320 bilion (RM1.383 trilion) di Asia Pasifik dalam jangka masa terdekat,” katanya dalam forum ‘Membina Infrastruktur Tenaga untuk Masa Hadapan’ di Energy Asia 2025 di sini.
Jelas beliau, tumpuan kini tidak hanya kepada kemampanan tenaga, tetapi juga keselamatan tenaga.
“Permintaan untuk pelaburan dalam loji kuasa gas seperti CCG (Combined Cycle Gas) semakin meningkat, menunjukkan perubahan pendekatan ke arah peralihan tenaga yang lebih seimbang dan realistik.
“Walaupun terdapat banyak peluang, risiko turut wujud, termasuk kekurangan dana, ketidaktentuan dasar kerajaan dan ketegangan geopolitik.-UTUSAN










