PUTRAJAYA: Pegawai Kanan Bahagian Penyiasatan Tatakelola Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menafikan bahawa kenaikan pangkat yang disifatkan sebagai terlalu cepat mempunyai kaitan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Fikri Ab. Rahim yang merupakan bekas Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM berkata, kenaikannya ditentukan oleh agensi tersebut dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
“Masa siasatan dijalankan saya sudah menjawat (gred perkhidmatan) 54. Yang dikatakan laju (kenaikan pangkat) adalah dari (gred perkhidmatan) 41 ke 54, bukannya terus ke Jusa C,” kata saksi itu ketika pemeriksaan semula oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Khamis lalu, Fikri menyatakan dia mula menjawat jawatan sebagai Ketua Cawangan Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) pada 2009 sebelum dinaikkan pangkat kepada Timbalan Pengarah Bahagian Sektor AMLA selepas cawangan itu dinaik taraf.
Sekitar 2016, dia telah menjadi Pengarah pertama Bahagian AMLA dan Pelucutan Hak Harta dan gred perkhidmatannya terkini ialah Jusa C (dinaikkan pangkat pada 2017). Saksi pembelaan kelapan itu bagaimana sedang dicutikan sehingga Ogos ini.
Fikri merupakan antara lima individu yang pergi ke Arab Saudi antara 27 hingga 29 November 2015 untuk menemu ramah Putera Arab, Putera Saud Abdulaziz Majid Al-Saud (Putera Saud), yang dikatakan menandatangani surat derma Arab Saudi kepada Najib.
Ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, dia bersetuju bahawa merupakan individu pertama dalam kalangan rakan sekerjanya yang mencapai gred Jusa C walaupun berkhidmat selama 11 tahun.
Bagaimanapun Fikri tidak bersetuju dengan cadangan Ahmad Akram bahawa kenaikan pangkatnya yang pantas adalah disebabkan sumbangannya dalam siasatan kes 1MDB.-UTUSAN










