RISDA sasar tanam lebih 1.5 juta hektar getah

RISDA sasar tanam lebih 1.5 juta hektar getah

RISDA bertekad menjadikan semula Malaysia sebagai negara pengeluar getah utama dunia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Pihak berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyasarkan menanam lebih 1.5 juta hektar getah pada tahun ini bagi mengembalikan negara sebagai pengeluar utama dunia komoditi berkenaan.

Difahamkan, keluasan tanaman getah pekebun kecil kini sekitar satu juta hektar dengan jumlah pekebun kecil seramai 520,000 orang di seluruh negara dan jumlah itu perlu ditambah bagi meningkatkan pengeluaran sekali gus menampung permintaan dalam dan luar negara.

Pengerusinya, Manndzri Nasib berkata, langkah itu penting kerana keluasan per hektar ladang getah di negara ini sudah merosot pada kedudukan kelima dunia di belakang Ivory Coast.

Katanya, situasi itu berlaku kerana ramai pekebun kecil bertukar kepada komoditi lain seperti kelapa sawit lebih sedekad lalu menyebabkan keluasan kebun merosot mendadak sekali gus Malaysia bukan lagi pengeluar getah utama dunia.

“Bagi menampung keperluan industri berasaskan getah negara kita mengimport berbilion ringgit lateks dari luar negara malah dari negara Myanmar sahaja bernilai RM150 juta.

“Oleh itu usaha mengembalikan keluasan tanaman getah sedang digiatkan dengan kerjasama kerajaan kerajan negeri dalam menyediakan kawasan tanaman baharu dan mengaktifkan kebun-kebun getah terbiar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Harga getah ketika ini purata bagi lateks selepas subsidi dari Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan RISDA adalah sekitar RM9 dan bagi cup lump sekitar RM3.50 hingga RM4.

Manndzri berkata, pendekatan moden dalam mengeluarkan dan menguruskan produktiviti perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh yang mana bukan sahaja estet-estet getah baharu perlu dibuka malah harga komoditi ini perlu distabilkan sebagai tarikan kepada pekebun kecil.

Beliau mengakui trend pekebun kecil bertukar kepada kelapa sawit berlaku secara meluas di seluruh negara dan menyedari hakikat tersebut, RISDA tidak lagi memberi bantuan tanaman semula daripada getah kepada kelapa sawit.

“Malah sebaliknya untuk tukar daripada sawit kepada getah sangat dialu-alukan dan RISDA akan pertimbang bantuan tanam semula mengikut skim dicadangkan,” katanya.

Katanya, dahulu pekebun kecil menanam koko tetapi banyak pokok ditebang ditukar kepada sawit atau getah menyebabkan komoditi itu sukar diperoleh.

Katanya, walaupun ketika ini harga coklat tinggi sehingga mampu memberikan pendapatan lumayan kepada pekebun, namun koko bukan lagi komoditi pekebun kecil.

“Justeru, kesilapan lalu kita tidak mahu berulang kepada industri getah kerana jika dibandingkan dengan kegunaan getah asli lebih meluas. Ini kerana keperluan dunia melibatkan hal kesihatan dan keselamatan,” katanya.

Menurutnya, banyak ikhtiar untuk meluaskan tanaman getah seperti program Model Pengeluaran Getah Negara (PETARA) sebagai satu dasar dan garis panduan bagi memastikan kebun terbiar diusahakan semula.

“Program lain ialah Skim Produktiviti Lateks, kempen tanam getah berterusan, dan mewujudkan depoh-depoh getah untuk menstabilkan harga pada tahun ini,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN