Agro pelancongan tingkat pendapatan penoreh getah

Agro pelancongan tingkat pendapatan penoreh getah

ABDUL Rahman Mohamad menunjukkan buah durian di D’ Banjaran Musang King yang diusahakan di Kampung Menderang, Sungkai, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Seorang penoreh getah di Sungkai dekat sini berjaya meningkatkan taraf hidup keluarga menerusi projek agro pelancongan menanam durian dikenali D’ Banjaran Musang King.

Abdul Rahman Mohamad berkata, dia menanam durian di ladang seluas 1.61 hektar di Kampung Menderang, Sungkai di sini kerana kesesuaian tanah untuk tanaman tersebut di tanah berbukit di jajaran Banjaran Titiwangsa selain berhampiran sungai utama sebagai sumber air.

Menurutnya, dia tetap menoreh getah selepas menerima bantuan berterusan daripada Risda dan mengusahakan agro pelancong di tanah peninggalan keluarga sebagai pendapatan sampingan.

“Saya menanam durian musang king, tupai king, raja kunyit, jawi super dan D13. Bantuan berterusan Jabatan Pertanian Perak dalam bentuk baja, racun serangga perosak dan khidmat nasihat membolehkan saya menghasilkan buah yang bermutu tinggi.

“Pokok yang ditanam rendang kerana kerap dipangkas dengan rapi ibarat boleh dipetik sahaja setiap kali musim tiba namun saya tidak sesekali peram buah kerana rasanya kurang enak,” katanya.

Dia menerima bantuan Jabatan Pertanian Perak dalam bentuk baja, racun serangga perosak dan khidmat nasihat manakala Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) bagi hebahan promosi ladang agro pelancongan dan Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang.

Majlis Daerah Tapah pula membantu dalam bentuk kemudahan awam manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin banyak membantu memperkembangkan lagi perniagaannya.

Perkembangan itu selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche Daerah Batang Padang iaitu berpotensi tinggi dalam pembangunan pelancongan kerana kewujudan aset sumber semula jadinya, tarikan flora dan fauna dan elemen kebudayaan yang boleh diketengahkan dan dipromosikan sehingga peringkat antarabangsa.

Usaha Abdul Rahman menepati tumpuan utama niche iaitu pertanian dan pelancongan.

Bantuan itu juga selaras dengan flagship kelima, Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Keluarga 1 Usahawan cetusan berwawasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan.

Dia yang dibantu isterinya, Wan Zuriani Wan Muda, 45, berkata, konsep agropelancongan yang diusahakan adalah pelanggan boleh menikmati buah durian secara terus di ladang termasuk buah-buahan lain seperti buah rambutan, cempedak, pulasan, manggis dan nanas.

“Pengunjung turut boleh berswafoto selain bermain air sungai berhampiran. Saya turut menjadi pemborong durian untuk memasarkan hasil penduduk kampung sekitar termasuk Orang Asli,’ katanya.

Sejak diusahakan secara serius D’ Banjaran Musang King sejak setahun lalu mula dikunjungi oleh pengunjung tempatan dan antarabangsa untuk menikmati pelbagai jenis durian dengan harga yang berpatutan.

“Saya bersyukur kerana pendapatan bulanan saya boleh mencecah empat angka sebulan hasil menoreh getah dan jualan durian. Faktor cuaca dan kenaikan harga baja dan racun memang agak membebankan tetapi kita cuba kawal sebaiknya. Cuma gangguan haiwan seperti kera agak berkurangan agak melegakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN