PETALING JAYA: Usaha-usaha reformasi dalam institusi lambat dan peningkatan kes lepas tanpa dibebaskan (DNAA) antara punca skor diperoleh negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 kekal 50 mata seperti 2023.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr. Muhammad Mohan berkata, kerajaan masih kurang melakukan reformasi institusi walaupun memberi penekanan terhadap tatakelola baik dan reformasi.
Katanya, kegagalan seperti pembentangan rang undang-undang pembiayaan politik, perolehan awam, kebebasan maklumat termasuk pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya turut menjadi punca tersebut.
“Bilangan kes-kes DNAA yang tinggi yang diberikan untuk kes berprofil tinggi juga mewujudkan persepsi terdapat unsur campur tangan politik dalam badan kehakiman atau dalam proses pendakwaan.
“Ia mewujudkan persepsi terdapat unsur campur tangan politik dalam badan kehakiman atau dalam proses pendakwaan,” katanya ketika mengumumkan CPI 2023 di sini, semalam.
Namun, Muhammad mengakui pencapaian ketara pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan memperkenalkan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal dan pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) pada Jun tahun lalu.
Menurutnya, Ketua Audit Negara kini berkuasa mengaudit syarikat dan badan lain termasuk syarikat milik kerajaan (GLC), yang menerima jaminan kewangan kerajaan.
“Kerajaan hendaklah mempercepat proses pembaharuan institusi untuk memastikan wujudnya ketelusan, akauntabiliti dan memastikan tiada unsur campur tangan politik dengan badan penguat kuasa seperti SPRM dan badan kehakiman.
“TI-Malaysia ingin mengulangi kerajaan hendaklah mempertimbang dan memberi penekanan untuk menambahbaik ‘Integrity Pact’ selari piawaian antarabangsa dengan mewujudkan pengawasan bebas untuk projek mega bagi memastikan wang pembayar cukai dibelanjakan dengan telus,” katanya. – UTUSAN










