MCW gesa reformasi menyeluruh

Rasuah: MCW gesa reformasi menyeluruh

Pengerusi Transparenccy International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan mengumumkan keputusan Indeks Persepsi Rasuah semalam. - UTUSAN/Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 yang mengekalkan Malaysia di tangga ke-57 menunjukkan usaha membanteras rasuah masih belum cukup untuk membawa perubahan ketara dalam persepsi global terhadap tadbir urus negara.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, CPI bukan sekadar mengukur keberkesanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pendakwaan kes rasuah semata-mata, tetapi merangkumi aspek tadbir urus secara menyeluruh.

Katanya, beberapa faktor yang mempengaruhi kedudukan CPI termasuk reformasi undang-undang, ketelusan pentadbiran dan birokrasi, daya saing serta produktiviti ekonomi, kestabilan politik dan dasar awam serta perlindungan terhadap pemberi maklumat (whistleblower).

“Kecekapan dan ketelusan sistem perundangan dalam memastikan keadilan dan integriti amat penting, serta usaha mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.za

“Persekitaran ekonomi yang telus dan bebas daripada pengaruh korupsi, keyakinan masyarakat serta pelabur terhadap pentadbiran kerajaan dan perlindungan terhadap pemberi maklumat juga perlu ditingkatkan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas pengumuman Pengerusi Transparenccy International Malaysia (TI-M), Dr. Muhammad Mohan mengenai keputusan Indeks Persepsi Rasuah semalam.

Mengulas lanjut, Jais berkata, walaupun kedudukan Malaysia tidak merosot dalam CPI, hakikatnya tiada peningkatan mencerminkan reformasi struktur yang dilaksanakan masih belum cukup berkesan.

Justeru, katanya, kerajaan perlu segera melaksanakan agenda reformasi institusi, memperkukuh mekanisme pemantauan serta meningkatkan ketelusan dalam pengurusan sumber awam.

“Kita juga perlu melihat CPI bukan sekadar dalam konteks rasuah semata-mata, tetapi dalam aspek tadbir urus secara menyeluruh.

“Jika Malaysia mahu melonjak dalam kedudukan CPI pada masa hadapan, perubahan lebih mendalam perlu dilakukan dalam semua sektor pentadbiran dan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN