Rakyat dijangka ‘ubah’ Kerajaan Pusat

Rakyat dijangka ‘ubah’ Kerajaan Pusat

TUN FAISAL ISMAIL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu ekonomi dan kebajikan rakyat yang didakwa terabai akan membuka ruang kepada pengundi untuk membuat perubahan sekali lagi seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Perubahan itu sekali gus turut memberi bayangan bahawa Perikatan Nasional (PN) merupakan satu-satunya pilihan yang ada untuk menjadi pentadbir yang lebih baik daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, perkara itu akan dapat dilaksanakan sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-16 ( PRU-16) dapat dijalankan secara telus dan adil.

“Jika pilihan raya diadakan secara bersih, tanpa penipuan atau penyalahgunaan dana serta aset kerajaan, saya percaya peluang PN untuk memenangi Kerajaan Pusat dan negeri-negeri adalah sangat tinggi.

“Majoriti pengundi MelayuIslam sebelum ini sememangnya tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) dengan ketara, hanya sekitar 11 peratus.

“Selebihnya memilih parti yang benar-benar memperjuangkan kepentingan mereka,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Utusan Malaysia, baru-baru ini.

PRU-14 menyaksikan perubahan landskap politik negara apabila buat pertama kali selepas lebih enam dekad mentadbir negara, BN gagal mengekalkan kuasa mereka.

Peralihan kuasa tersebut memperlihatkan kemelut kepimpinan dalam parti terbesar orang Melayu iaitu UMNO, malah beberapa parti komponen BN seperti Gerakan turut meninggalkan gabungan tersebut.

Mengulas lanjut, Tun Faisal mendakwa, ketidakpuasan hati terhadap kerajaan hari ini bukan hanya dirasai oleh orang Melayu, tetapi turut melibatkan kaum lain.

“Masyarakat India semakinmerasa dipinggirkan, manakala perniagaan orang Cina turut terjejas akibat kegagalan dasar kerajaan.

“Ini mencetuskan gelombang kekecewaan yang meluas,” katanya.

Dalam pada itu, Tun Faisal berkata, kejayaan PN dalam PRU16 bergantung kepada keupayaan gabungan itu untuk meyakinkan rakyat dengan dasar yang kukuh dan kepimpinan berwibawa.

“Jika kita dapat menampilkan gabungan kepimpinan dan tawaran dasar yang meyakinkan serta memastikan pilihan raya dijalankan secara bersih dan adil, saya percaya kejayaan adalah sesuatu yang boleh dicapai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN