DI Malaysia, tanggungjawab menjaga anak-anak lazimnya diserahkan sepenuhnya kepada wanita setelah berkahwin.
Situasi itu sekali gus membataskan peluang mereka untuk keluar bekerja dan memiliki pendapatan sendiri.
Hinggakan ada yang terpaksa melepaskan kerjaya dan jawatan selesa semata-mata untuk menguruskan zuriat yang masih kecil.
Apabila meningkat usia, tanggungjawab golongan ini makin bertambah kerana perlu menjaga ibu bapa yang uzur pula.
Bahkan, segelintirnya turut diberi amanah untuk menguruskan ahli keluarga lain termasuk nenek, datuk, ibu dan bapa saudara di samping adik-beradik yang kurang sihat.
Pengasas dan pengarah pusat jagaan warga emas Laman Khaira, Che Puan Intan Safinaz Redzuan Ranjit berkata, semua tanggungjawab tersebut tidak sepatutnya dibebankan di bahu wanita sahaja.
Lebih-lebih lagi dalam situasi masa kini, kaum hawa perlu bersama-sama membantu suami menyara keluarga.
Justeru, kewujudan pusat jagaan warga emas mampu menjadi penyelamat agar golongan itu tidak terus menjadi ‘mangsa’ sebagai penjaga.
Dalam masa sama, wanita dapat terus menyumbang dan bergiat aktif dalam ekonomi negara.
“Wanita pun ada cita-cita dan impian yang perlu dicapai seperti lelaki, jika berterusan tersepit dengan tugasan itu, bagaimana mereka mahu berjaya dalam bidang masing-masing?
“Apatah lagi di zaman sekarang, kebanyakan golongan ini berpendidikan tinggi dan memiliki kerjaya, dengan hanya sebilangan kecil sahaja yang bergelar suri rumah.
“Kerana tugasan menjaga ibu bapa uzur, mereka pula yang harus mengorbankan kerjaya sedangkan banyak lagi cara ‘menang-menang’ lain yang boleh diambil,” katanya ketika ditemui di Putrajaya baru-baru ini.
Impak negatif kepada ekonomi negara
Kekurangan wanita dalam sektor pekerjaan bukan sahaja menjejaskan ekonomi keluarga, bahkan boleh memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka panjang,
Intan Safinaz berkata, perkara itu tidak boleh disangkal lagi, lantas menyeru semua pihak untuk memandang serius isu berkenaan.
Tambahan pula, ia tidak selari dengan seruan kerajaan yang bertungkus-lumus menggalakkan kaum hawa terlibat dalam pasaran kerja.
“Buktinya, pelbagai inisiatif disediakan termasuk dalam Belanjawan 2025 untuk menarik wanita kembali ke sektor pekerjaan.
“Saya faham setiap anak bertanggungjawab untuk menjaga ibu bapa masing-masing tetapi bagaimana ekonomi Malaysia mahu berkembang maju jika ramai golongan wanita berhenti kerja,” katanya.
Bukan rumah kebajikan
Tindakan individu menghantar ibu bapa ke pusat jagaan warga emas tidak melambangkan sikap ‘si tanggang moden’.
Mentaliti itu perlu dikikis dan masyarakat diminta berfikiran lebih terbuka tentang peranan institusi tersebut.
Hal itu kerana, ia bukan seperti rumah kebajikan, sebaliknya umpama ‘nurseri’ untuk orang tua.
Kewujudannya sekali gus dapat memudahkan urusan anak-anak untuk keluar bekerja dan melakukan rutin-rutin lain tanpa perlu bimbang keselamatan insan tersayang yang bersendirian di rumah.
Lebih-lebih lagi, bagi anak-anak perantau yang jauh dengan ibu bapa dan terikat dengan komitmen kerja yang sibuk.
“Dua tahun kebelakangan ini, saya dapati pemikiran masyarakat di bandar makin terbuka terhadap pusat jagaan warga emas.
“Tetapi di luar-luar bandar, keadaannya mungkin berbeza dan lebih banyak output perlu diberikan untuk mendidik orang ramai tentang kepentingan institusi ini sebagai alternatif penjagaan kesihatan berkualiti kepada warga emas,” katanya.
Katanya, dilema yang dihadapi kaum hawa masa kini pernah berlaku ketika 1980-an.
Ketika itu, mereka berdepan kekangan untuk menghantar anak-anak ke taska disebabkan persepsi negatif masyarakat yang memandang serong tindakan tersebut.
Pantau kesihatan 24 jam
Berkongsi tentang Laman Khaira, kata Intan Safinaz, pusat yang terletak di Presint 16, Putrajaya itu turut menawarkan perkhidmatan memantau prestasi kesihatan penghuninya.
Menariknya, rutin itu dibuat selama 24 jam setiap hari oleh jururawat dan pekerja sosial terlatih.
Ia secara tidak langsung dapat membantu warga emas menikmati usia-usia senja mereka dalam suasana selesa, selamat dan penuh kasih sayang.
Ujarnya, ahli keluarga boleh menghantar ibu bapa yang kurang sihat secara harian, mingguan atau bulanan.
Sepanjang operasinya sejak 2017, Laman Khaira sudah mengendalikan ratusan warga emas dengan kebanyakannya merupakan pesakit demensia, alzheimer dan strok.
Terkini, pusat itu menempatkan lebih 40 warga emas berusia 60 tahun ke atas dengan bayaran bulanan bermula daripada RM4,500.
Ujar Intan Safinaz, berurusan dengan warga emas terutama yang sakit bukan tugasan mudah kerana menuntut kesabaran, tanggungjawab dan minat tinggi.
Akur demi keselamatan diri
Sementara itu, seorang warga emas, Rosminah Mohamed, 72, akur dengan saranan enam anaknya untuk menetap di pusat jagaan orang tua.
Bekas kakitangan awam ini berkata, langkah itu bertujuan menjamin keselamatan dirinya kerana tinggal bersendirian di Melaka.
Kini, sudah empat bulan dia menghuni di Laman Khaira dan seronok di kelilingi barisan jururawat yang mesra serta rakan-rakan seusia lain.
“Semua anak-anak bekerja dan saya tinggal seorang di rumah di Melaka selepas suami meninggal pada 2001.
“Sebelum ini, saya ada pembantu warga Indonesia tetapi ada perkara-perkara yang tidak elok dilakukannya, jadi anak-anak bawa saya ke Kuala Lumpur dan tempatkan di sini,” katanya.
Nenek kepada 10 cucu ini berkongsi kisahnya pernah jatuh pada tahun lalu dan mengalami kecederaan serius pada pinggul.
Selain itu, dia turut mengalami masalah Parkinson dan vertigo, dengan perlu mengambil 10 ubat-ubatan setiap hari.
Seorang lagi penghuni, Mohd. Amir Sufian Hassan, 76, selesa menetap di pusat jagaan itu kerana tahap kesihatannya sentiasa dipantau jururawat.
“Selain itu, kawan-kawan pun ramai dan tidak rasa sunyi sepanjang tiga tahun tinggal di sini,” kata bekas kerani bank yang bujang ini.-UTUSAN










