Pinda Akta 711, lindungi pemberi maklumat bukti kukuh

Pinda Akta 711, lindungi pemberi maklumat bukti kukuh

JAIS ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dicadang untuk meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bagi melindungi individu yang mendedahkan maklumat kepada orang ramai sebelum melaporkan kepada agensi penguatkuasaan.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, Akta 711 wajar diperluas untuk melindungi pemberi maklumat yang terpaksa mendedahkan maklumat kepada umum sekiranya mereka telah menggunakan saluran rasmi tetapi tiada tindakan diambil dalam tempoh munasabah.

Katanya, agensi penguatkuasaan perlu mempertingkatkan ketelusan, kecekapan dan keberkesanan dalam menangani laporan pemberi maklumat bagi mengelakkan keperluan pendedahan awam.

“Sebuah badan pemantau bebas wajar diwujudkan bagi memastikan setiap laporan ditangani dengan serius dan tidak diabaikan.

“Pemberi maklumat yang bertindak dengan niat baik berdasarkan bukti kukuh harus dilindungi daripada sebarang tindakan balas, termasuk jika pendedahan dibuat kepada umum dalam keadaan tertentu.

“Kerajaan perlu mempertimbangkan pindaan terhadap Akta 711 bagi melindungi pemberi maklumat dalam situasi yang memerlukan tanpa mengorbankan prinsip integriti dan ketertiban siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan tidak bercadang untuk membuat pindaan terhadap Akta 711 bagi melindungi pemberi maklumat yang melakukan pendedahan pada umum dan awam.

Beliau berkata, Seksyen 61 Akta 711 menyatakan bahawa seseorang boleh membuat pendedahan terhadap mana-mana agensi penguatkuasa.

Bagaimanapun, kata beliau, subseksyen 71 Akta 711 menyatakan perlindungan boleh diberikan kepada pemberi maklumat apabila pendedahan dibuat pada mana-mana agensi penguatkuasaan di bawah Seksyen 6.

“Merujuk kepada kes rasuah melibatkan pemimpin Sabah, pendedahan sudah berlaku pada umum atau awam sebelum pemberi maklumat membuat laporan kepada agensi penguatkuasa. Dalam hubungan ini, pemberi maklumat tidak dapat dilindungi dibawah subseksyen 7 (1).

“Pada masa yang sama, tiada cadangan yang menambahbaik Akta 711 bagi melindungi pemberi maklumat yang membuat pendedahan pada umum dan awam. Walau bagaimanapun, sekiranya pendedahan dibuat kepada agensi penguatkuasa terlebih dahulu layak dilindungi,” katanya di Dewan Rakyat. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN